Pages

10 December 2011

Cerita perihal buku cerita.

The modern nomad: Live anywhere, anytime.


Buat kedua kalinya loceng sekolah berdering kuat. Kali pertama loceng berbunyi menandakan waktu belajar sudah bermula. Kali kedua pula bermaksud telah tiba waktu untuk cepat-cepat berlari keluar bilik darjah menuju kantin.

Paling dinantikan semestinya loceng ke empat, iaitu waktunya untuk balik ke rumah. Paling tidak, inilah yang dipelajari dan amat aku fahami selama aku bersekolah. Tiada yang lebih dinantikan selain deringan loceng dan waktu Pendidikan Jasmani (dibaca waktu main bolasepak).

Walaupun suara cikgu yang menjerit, memekik tentang pelajaran berulang-ulang dan mengingatkan supaya menyiapkan tugasan yang diberi itu lebih penting, ternyata bunyi loceng yang nyaring 4 kali sehari lebih senang dimengerti serta mudah difahami.

Setiap kali pelajaran bermula, satu slot 35 minit terasa seperti 2 jam kalau pelajaran itu membosankan dan setiap masa kita berdoa semoga cepat habis. Tetapi terasa seperti hanya 5 minit kalau pelajaran yang diajar itu adalah yang kita gemari. Padahal sudah 1 jam berlalu misalnya.

Hal yang sama terjadi ketika aku membaca novel. Ketika memilih novel untuk dibeli, aku sentiasa ragu untuk membeli novel setebal 500 mukasurat misalnya, kerana memikirkan ketebalannya yang melampau sekaligus mustahil untuk dibaca sampai habis dalam waktu yang terbatas.

Ditambah dengan kesuntukan masa, aku jadi bertambah pesimis. Apabila mula dibaca, hal sebaliknya yang berlaku. Helai demi helai dibelek, bab demi bab diselak, semakin banyak kejadian/konflik tercetus, semakin ingin tahu apa seterusnya yang terjadi. Penasaran.

Sedar tak sedar dah separuh novel habis dibaca. Kemudian setelah menghampiri bab-bab akhir, entah kenapa aku berharap semoga novel yang sedang dibaca ini masih tebal lagi. Semakin ia nipis, semakin aku berdoa semoga ia tak pernah habis. Apabila telah selesai dibaca, aku akan ternanti-nanti novel seterusnya dari penulis tadi.

Bagi novel Selimut Debu, karangan Agustinus Wibowo setidak-tidaknya itu yang aku rasa. Sehingga memaksa aku membeli dan membaca novel kedua beliau iaitu Garis Batas. Novel seperti ini aku kategorikan sebagai novel berbintang 4.9.

Sungguh ‘kesedapan’ membaca itu tadi adalah relatif, sama seperti proses pembelajaran di dalam kelas tadi.

Novel 5 bintang adalah novel yang indah, sarat kisah yang menginspirasikan, dan kita akan tertanya-tanya serta ingin tahu apa yang telah terjadi kepada setiap sesuatu yang telah diceritakan. Kadang-kadang terasa ingin pergi kesana dan melalui sendiri pengalaman yang diceritakan.

Leaving Microsoft To Change The World (edisi Bahasa Malaysia) adalah novel seperti ini. Cerita yang disampaikan, sampai kepada pembaca tidak hanya apa yang hendak disampaikan, terdapat elemen lain atau nilai tambah yang diselit. Jadi jangan pelik kalau novel ini di label sebagai buku perniagaan dan pemasaran di sesetengah perpustakaan/kedai buku.

Jika Selimut Debu dan Garis Batas adalah kisah backpacker yang kemudian menjadi wartawan, Leaving Microsoft To Change The World adalah kisah seorang pengurus pemasaran kaya yang menjadi backpacker seterusnya pekerja sukarela yang mengasas sebuah gagasan Roomtoread.

Dan novel Laskar Pelangi serta karya-karya lain dari Andrea, aku kasi 7 dari 5 bintang. Andrea adalah seorang ahli ekonomi, pemerhati dan peneliti, backpacker, penerima biasiswa kerajaan, orang seni, ahli sastera, pemalu dan banyak lagi. Memang padan aku kasi 7 bintang untuk karya-karya beliau.

Melalui pemerhatian dan penelitian aku sendiri, antara ciri kisah yang indah adalah kisah yang comply syahadah. Sebagaimana kalimat syahadah, yang didahului ayat penafian kemudian baru diikuti oleh penerangan yang menguatkan penafian tadi sekaligus pelengkap yang membentuk sebuah ayat yang sempurna.

27 October 2011

Waja diri.

Tadahan hujan.

Pembaca yang budiman, percayakah Tuan jika saya katakan bahawa manusia di dunia ini tidak akan pernah wujud jika personaliti waja diri tidak ada dalam diri manusia?

Apa!? Tuan tidak percaya?

Baiklah, mari saya kisahkan. Di saat Nabi Adam dan Hawa dihumban ke bumi, apa yang membuat pasangan tersebut terus bertahan di bumi dengan harapan pada suatu hari nanti mereka akan kembali ke syurga?

Apa akan terjadi jika asal muasal manusia itu tidak mempunyai personaliti(waja diri) demikian. Katakan mereka sangat kecewa dan meratapi apa yang telah terjadi, kemudian menamatkan riwayat dan kisah cinta mereka dengan sekali lagi melanggar perintah tuhan (dibaca membunuh diri). Jika itu terjadi, akan wujudkah saya yang berjaya menaip entri ini dan akan lahirkah Tuan yang sedang membaca entri ini?

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sifat waja diri itu sebenarnya tertanam utuh dalam diri setiap manusia sedari lahir. Seorang bayi yang baru lahir setelah beberapa bulan akan berusaha keras untuk meniarap. Kemudian apabila semakin besar, dia berusaha pula untuk duduk, merangkak, berdiri, berjalan seterusnya berlari-lari.

Dapatkah Tuan bayangkan jika bayi tadi berputus asa setelah jatuh dalam usahanya untuk berdiri, dia kemudian tidak pernah mencuba lagi. Dapatkah Tuan berdiri seperti mana Tuan berdiri pada hari ini andaikata bayi yang putus asa tadi adalah Tuan?

Jawablah dalam hati semua persoalan saya di atas kerana saya tidak mahu Tuan berceloteh di sini. Saya tidak memerlukan jawapan sebagaimana saya tidak akan menghuraikan dengan lebih lanjut definisi personaliti waja diri.

Cukuplah digambarkan betapa tidak indah kehidupan ini jika sifat waja diri itu tadi tiada dalam diri manusia, tiada dalam diri kita-kita ini.

18 September 2011

5 sebab kenapa anda patut daki Gunung Stong.


1. Air Terjun Jelawang.
Di Gunung Stong terdapat air terjun Jelawang yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

Air terjun Jelawang terdiri dari 7 tingkat dan di setiap tingkat terdapat banyak kolam mandi dan tempat menggelungsur. Di salah satu tingkat, berdekatan Kem Baha terdapat kolam yang di panggil kolam Tuan Puteri. Kira-kira setengah jam trekking dari kem ini, kita akan jumpa pula Telaga Tujuh, deretan kolam-kolam kecil yang kesemuanya berjumlah tujuh.

Air terjun dan kolam mandi di sini 100 kali lebih bagus dari Air Terjun Temurun di Gunung Mat Chincang, Langkawi dan 10,000 kali lebih bagus dari Air Terjun Namuang di Koh Samui, Thailand. Ternyata Air Terjun Namuang bukan tandingannya.

2. Karpet awan.

Mahukah kamu melihat sesuatu yang sungguh menenangkan fikiran? Sangat-sangat menyenangkan sehingga ketika menikmatinya seolah terlepas beban 100 kilogram dari bahu.

Fenomena di saat lapisan serat lembut berwarna putih tipis seperti kapas dan berkilat bak sutera yang tersebar luas dan menutupi langit secara melata ini dapat dinikmati ketika Berada di Kem Baha, 1 jam pendakian dari kaki Resort Stong.

Di tambah dengan kehadiran matahari terbit dan udara yang segar, keindahan ini tak dapat dikongsi dengan kata-kata. Tahu kenapa pada satu masa dulu sebelum adanya teknologi kamera seorang penulis menjadi seorang pelukis?

Kerana penulis tadi kehabisan kata-kata untuk menceritakan sesuatu keindahan yang dilihat.

3. Spesis langka dan rare.
Taman Negeri Gunung Stong kaya dengan flora dan fauna, sesetengah tumbuhan yang tumbuh disini hanya pernah dijumpai di gunung ini, dalam erti kata lain tumbuhan tersebut tidak terdapat di tempat lain.

Contohnya Holttumochloa pubescens sejenis pokok buluh dan Licuala stongensis sejenis tumbuhan akasia.

Rafflesia Kerrii bunga terbesar di dunia, Harimau Malaya alias Panthera Tigris Malayensis, Tapir Malaya alias Tapirus indicus.

Di saat mendaki berdoalah semoga anda tidak terserempak dengan Pak Belang alias Harimau Malaya kerana anda bukannya berada di zoo.

Budak semput tidak digalakkan mengikuti ekspedisi semacam ini. Sila pergi main di mall dan tawaf pusat beli-belah kerana tempat-tempat seperti itu menyediakan eskelator serta lif untuk kemudahan anda beriadah. Kekeke..

4. Rangkaian gunung.
Selain Gunung Stong, terdapat banyak lagi gunung lain yang berdekatan iaitu Gunung Ayam, Gunung Tera, Gunung Saji. Kalau ke Gunung Ayam melalui trek sumalian, boleh lihat semua tumbuhan yang rare dan langka tadi depan mata.

5. Lanskap gua/batu.
Duduk dan perhatikan susunan batu, stalaktit serta stalagmit di Gua Bogor. Jika anda seorang arkitek, percayalah bahawa lanskap ini jauh lebih indah dari susunan bangunan pencakar langit yang terdapat di hutan konkrit(dibaca bandar).

Kalau kesana nanti jangan gatal tangan nak conteng kat batu tulis Budak bongok wuz here atau seumpamanya. Kalau buat juga nanti aku conteng dahi kau balik. Perlu diingat; Gunung Stong dijaga oleh orang bunian! Jangan kau sembarangan ya.

Sekiranya belum puas dengan keadaan Gua Bogor yang kecil, silakan jelajah Gua Ikan, Gua Pagar dan Gua Keris yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Pekan Dabong.

Selepas baca entri ini, harap hati kau rasa terdetik, tercabar, teruja dan gatal kaki mahu mendaki Gunung Stong, jika harapan aku benar sila hubungi pihak Kem Baha terlebih dahulu sekurang-kurangnya seminggu sebelum pendakian untuk kelancaran melainkan anda pengembara solo yang mengamalkan prinsip roughly plan for go and back only, in the middle let nature decide.

Baiklah, sila nikmati sekelumit gambar yang aku muat naik. Kalau kau rasa gambar tak cukup besar, tekan Ctrl di papan kekunci dalam masa yang sama pusing mouse wheel ke atas untuk magic gambar jadi besar atau klik pada gambar. Kalau masih tak puas hati, silakan hubungi nombor di bawah untuk berekspedisi ke sana.


Air besar, hujan lebat.

Chalet di Kem Baha, RM10 satu malam.

Karpet awan.


Abstrak alam yang bertajuk "Akar".


Batu, pokok dan langit.

Puncak Stong.


Kem Baha (019 9591020), biaya sehari untuk seorang pemandu arah adalah ~RM200 maksimum 12 orang. Maknanya kalau bercadang datang seramai 24 orang kena tempah 2 pemandu arah. Atau boleh hubungi pihak KB-backpackers untuk lihat pakej.

Nota bawah : Itu hari aku daki Stong pakai khidmat pemandu arah yang bernama Pok Gad si penjaga air terjun antara dua gunung (011 1992 7463). Sebut nama aku nanti dapat diskaun 50%, serius aku tak tipu.

13 September 2011

Dedikasi kepada gigi.

Lukisan ini aku dedikasikan kepada gigi bongsu aku yang telah di cabut 2 tahun lepas. Err..
Gigi meraung sakit gigi.

Burung bersiar-siar di petang hari.

Pelangi petang.

Ini gambar monsta pelukis dari Peranchis.



Nota bawah: Seronok juga rupanya melukis pakai Paint.