Pages

16 August 2009

Ekspedisi mandi air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

'Simpan duit dua ringgit,kalau nak ikut!'Pesan abang aku tegas. Aku mula berkira kira. Sehari duit belanja sekolah 50sen; rehat makan kueh 20sen, air anggur 10sen,balik sekolah beli aiskrim jeruk kelubi 20sen. Hah,mana ada lebihnya nak simpan? Getus hatiku selepas ligat membuat kira kira.

Harap hujung minggu ni macha beli botol tu datang. Berguna jugak botol botol budu kosong yang tersusun rapi kat rumah aku. Boleh digadai. Kalau macha tak datang macam mana?

Plan b, kat sekolah nanti tunggu nasi Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang budak tak datang. Kalau dapat, boleh aku simpan 50sen ni. Sehari simpan 50sen,Ahad Isnin Selasa Rabu. Empat hari kena berebut RMT. Tak mungkin aku dapat makanan tu tiap tiap hari. Susahnya.

Hampa aku memikirkan cara untuk menyimpan duit sebanyak itu. 'Apsal 2 ringgit, seringgit tak boleh ke?' tanya aku dengan penuh harapan. Ketika itu abangku tercongok diatas dahan jambu mawar, chap..chap..bunyi jambu mawar dikunyah laju sambil air jambu tersembur keluar,entah sedap entah tertelan ulat buah.

'Pegi seringgit, balik seringgit!'lantang jawapan dari abangku. Kelihatan beberapa ekor kerengga merayap rayap di kakinya mencari pot paling sedap untuk dikepit.

'Naik perahu 50sen nak nyeberang, dari jeti nak ke kaki gunung kena naik van,50sen lagi. Kalau bawak seringgit ko tidola sana. Tak payah balik!' sambung abangku lagi panjang lebar.

Harapanku semakin kabur untuk ikut sama ekspedisi tersebut. Tak sanggup aku menelan air liur memerhatikan Apih,Jehe dan Matyi menikmati aiskrim jeruk kelubi selama 4 hari berturut turut.

Mana tahan, boleh meleleh air liur dari sekolah sampai rumah kalau macam ni.

Ah, takpelah. Mungkin lain kali.

Nota bawah: Sekarang dah ada jambatan lintas sungai, tak perlu naik perahu lagi nak nyeberang.

0 contengan:

Post a Comment