Pages

22 August 2009

Janji temu dengan puteri bunian Gua Ikan.

Hujung minggu ini sekali lagi Kamaruddin berjaya meyakinkan aku untuk tidur dirumahnya. Kali ni ayahnya baru saja balik dari kampung orang bunian bersama Pok Ku untuk meminjam pinggan dengan orang bunian bagi kegunaan kenduri kahwin, ceritanya.

Walaupun sedikit sangsi mengenainya,kerana sebelum ini pernah terdengar cerita yang masyarakat bunian makan beralaskan daun saja, tapi aku tetap setuju dengan pelawaan Kamaruddin.

Mandi air gunung sambil kutip pucuk paku. Terisi jugak hujung mingguku dengan aktiviti. Nanti dalam kelas boleh lawan cerita panas Zuha. Minggu lepas ceritanya menjerat anak babi hutan berjaya mengumpul 'crowd' paling ramai hingga tersebar ke kelas sebelah.

Sampai saja dirumah Kamaruddin, aku tak banyak cakap, terus terjun ke sungai. Airnya yang jernih dan dingin membuatkanku terketar ketar menahan sejuk ketika angin sepoi sepoi yang bertiup menyentuh badanku. Sekali sekala kuimbangi badan yang ingin terjatuh kerana terpijak batu batu sungai yang agak tajam dan menyakitkan ketika dipijak. Airnya yang sejernih kristal membolehkanku menyelam sambil meninjau anak anak ikan berkejaran di celah celah batu.

Kamarudin yang masih lagi tercegat di tebing, hanya memerhatikan gelagatku sambil tersenyum sipu. Jengkel. Gayanya sedikit angkuh mungkin kerana mandi di tempat itu bukan lagi kepuasan baginya. Malah,kebiasaan; mandi, basuh baju, basuh pinggan semuanya menggunakan air sungai tersebut. Tetapi tidak bagi aku.

'Jom! kita susur anak sungai ni sampai ke dalam Gua Ikan sana' Kamaruddin yang masih tersenyum memulakan bicara. Cuba menarik perhatian aku.

'Hari ni puteri bunian turun tak?' respon aku laju sambil terkial kial memanjat tebing yang agak curam.

Tanpa menjawap pertanyaan, Kamaruddin terus melangkah tidak mempedulikanku.

'Kau ikut saja,nanti dah jumpa kau tengokla puas puas' dari gerak alis matanya dapat ku agak jawapan yang dituturnya.

5 minit menyusuri sungai, membawa kami ke pintu gua yang hanya boleh diterokai melalui jalan air. Pendek kata kami terpaksa berenang untuk masuk ke gua tersebut. Keadaan airnya yang hijau kehitaman dan kelihatan sanga dalam, sungguh mengerikan. Risau juga kalau ada ikan Piranha. Aku menolak cadangan Kamaruddin untuk berenang, dan ku utarakan idea yang lebih praktikal;panjat batu!

Kamaruddin tak membantah, mungkin dia juga setuju bahawa puteri bunian tidak suka jika berjumpa manusia dalam keadaan basah kuyup. Kata nak berjanji temu. Apa cerita jumpa puteri bunian berpakaian basah.

Dalam hal seperti ini, Kamaruddin sentiasa di depan. Agaknya bimbang puteri bunian hanya 2 orang, dan hanya seorang yang cantik. Menjadi yang pertama memungkinkannya membuat pilihan yang terbaik.

Tiba di bahagian batu yang besar dan licin, aku tak tergapai tempat berpaut. Kakiku tersilap pijak di tempat berlumut, selipar yang lupa kutanggalkan ternyata membawa celaka. Laluku jatuh bebas ke dalam air yang hijau dan dalam.

Kecebbuuuuurrrrr....

Serentak itu aku terasa muka direnjis air dan tersedar dari tidur.

'woi, bangun sahur! Dah nak habis waktu ni! Lembaga di hujung kaki ke yang amat kukenali bersuara tegas.

'cilakak! Abangku memang tak bagi can lansung.'

Nota bawah: Selamat berpuasa.=P

0 contengan:

Post a Comment