Pages

30 August 2009

Mandi di Gua Ikan.


Sebelum Brian Nickson Lomas terkenal dan mewakili negara ke sukan olimpik,aku ketika darjah 4 terlebih dahulu mencuba nasib dan menguji kebolehanku dalam sukan terjun. Tetapi ternyata tiada lansung bakat mahupun yang terpendam lagi tersorok untuk diasah. Rezekiku bukan dalam bidang terjun terjun. Ya, aku amat pasti. Pasti sekali.

'Kau terjun dulu' arah aku yang tak mampu pun berdiri akibat gayat.

Ijo yang prinsip hidupnya pantang dicabar tersenyum sinis sambil berdiri tegak dengan kedua dua tangan di pinggang. Megah. Ku kira jika tidak di suruh pun sememangnya dia akan terjun.

Ketika aku cuba berdiri dan masih lagi mengimbangi badan, Ijo telah pun melonjakkan kakinya dari batu tempat kami berdiri,terus terjunam je dalam air dengan kepala dahulu mencecah air.Memang bergaya. Kuintainya untuk memastikan dia masih hidup.

Melihatnya tak apa apa, sekonyong konyong aku juga mendapat keberanian untuk terjun sama. Perasaan ingin merasai degupan jantung momen antara melonjak dari batu dan sebelum cecah permukaan air mengatasi perasaan takut tadi.

Aku lonjak sekuat hati, mata tertutup. Tak kuhiraukan Ijo dan Wadi yang sedari tadi bergelumang dalam air menjerit jerit namaku memberikan kata semangat.

Saat kaki mencecah air, tiba tiba ku rasa bangga. Aku telah berjaya. Berjaya melalui tempoh adrenalin dipam laju meningkatkan tekanan ke seluruh urat saraf yang tadi menegang kini menurun drastik. Kembali kendur dan menyenangkan semacam perasaan kencing ketika berada berada di dalam air setelah sekian lama berendam. Malah lebih menyenangkan dari itu.

Wah! Ternyata satu kepuasan. Dapat kurasai arus deras mengenai tubuhku seakan angin yang sedang bertarung dengan aerofoil. Kuangkat kepala dan tersenyum puas sambil memandang Ijo dan Wadi secara berturut, tak sabar mendapatkan ucapan tahniah. Tetapi mereka sebaliknya, malah masing masing ketawa terbahak bahak.

Saat itu juga aku lihat seluar pendekku hanyut dibawa arus deras jauh menuju ke dalam Gua Ikan. Cilakak, getah pinggang seluarku buat hal lagi.

0 contengan:

Post a Comment