Pages

04 September 2009

Mendaki Bukit Jepun.


Dari atas bukit kelihatan jelas pemandangan seluruh kampung dari hilir Dabong hingga ke tepi masjid berdekatan Sungai Galas. Inilah pemandangan yang diabadikan sebagai muka depan majalah sekolah menengah abang aku edisi 1994. Tumbuhan dan bukit bukau yang menghijau menyegarkan mata memandang,udara yang segar meluaskan paru paru yang menyedut. Bebas dan terasa lapang.

Nun jauh ke arah barat daya, kelihatan Gunung Stong air terjun dengan ketinggian 1422 meter, tertinggi di Asia tenggara. Di sebelahnya terpacak susunan Gunung Ayam, Gunung Saji berangkai rangkai dengan gunung gunung yang lain.

Tambah menarik apabila tepat jam 11.20 pagi, keretapi ekspres timuran 2 dari hujung Kelantan,Tumpat ke Singapura melalui jambatan yang terletak bersebelahan Bukit Jepun. Lengkap sekali panorama ini.

Pernah kuajukan kepada rakan rakan mengapa bukit ini dinamakan sedemikian , respon yang kuterima semuanya berlainan. Paling ku ingat;konon tempat ini pernah dijadikan tempat askar jepun meninjau keadaan musuh memandangkan secara geografinya terletak di hujung pekan dan paling tinggi. Jambatan keretapi ini dikatakan menyamai struktur binaan jambatan yang terdapat di Kanchanaburi dan bahagian Thailand yang lain yang dulunya dibina oleh buruh paksa tentera Jepun.

Versi ini dikuatkan lagi dengan penemuan hantu askar jepun yang berbaris, semuanya tanpa kepala, yang pernah diceritakan Hilmi anak Pok Nal rakan sekelasku. Ceritanya bersungguh sungguh dan meyakinkan. Derap derap askar jepun tak berkepala berkawad di bukit ketika melalui jambatan keretapi terngiang ngiang di telingaku hingga kini: begitulah betapa berkesannya cerita Hilmi.

Kerana itu juga, walau telah banyak kali ku tawan bukit ini, tidak sekalipun pernah ku nikmati pemandangan matahari terbenam dari sudut ini. Apabila senja, iblis syaitan berleluasa. Mungkin juga pada saat itu, hantu askar jepun yang tak berkepala mula menyusun baris dan berkawad menuruni bukit.

Mana mungkin ada yang berani menidakkan fakta ini. Helmi yang setiap waktu berkopiah, anak kepada Ustaz Anuar Musyoddad pon belum tentu berani menyahut cabaran menikmati matahari terbenam di bukit jepun.

Nota bawah: Ingat pesanku kawan, jangan main main dengan hantu askar jepun bersamurai!

2 contengan:

zetty said...

cantik yerrr pemandangan kat situ...best yerr klu dpt pi...huhuhuhu

abOo said...

pegiler backpackin kesana..

Post a Comment