Pages

01 November 2010

Roti Pisang Dan Michael Jordan.

Aku terduduk. Berkelip kelip. Satu perkataan saja menggambarkan keadaan
aku kini. Putus asa!

Aku gagal menemukan diriku dalam apa yang kulakukan kini. Keputusan ku
teruk. Hampir kesemuanya sekdar lulus, malah ada subjek yang gagal. Terpaksa mengulang. Lebih sial lagi, pinjaman PTPTN ku akan ditahan semester hadapan. Itu yang paling sial sebenarnya.

"Jiwaku bukan disini.." Aku terus pesimis. Semangat ku remuk, berantakan.
Kalimat kalimat halus dari individu pesimis sangat berbahaya, bisa
membunuh jiwa, mematikan cita cita. Beracun dan terbakar, lalu rentung tak tertolong.


***************


"Koyop,makan jom. Aku belanja!"

"Okeh!" Balas Koyop puitis.

Aku ajak Koyop ngeteh kat Developing Mapley. Walaupun tengah sibuk
memuisi di Teratak Ana, Koyop setuju tak membantah setelah aku sogok
dengan sekeping roti pisang.


***************



"Apa kau sudah gila? Kemana cita cita menggunung kau dulu? Semudah itu kau mahu menyerah? Aku sedih, sedih memiliki kawan sepertimu." Koyop mengomel panjang tatkala aku luahkan padanya rancanganku untuk quit belajar. Sungguh puitis pertanyaannya.

"Tak malu kah kau pada anak yang menguruskan kedai ini, lihat betapa muda belia mereka, memiliki, menguruskan kedai ini pada malam hari tapi masih sempat ke sekolah esok pagi. Jangan menyerah Bu, kesusahan inilah universiti sebenarnya, universiti kehidupan. Tak kau dapatkan ini di dalam kelas Termodinamik! Bangun, berusahalah!" Terang Koyop panjang lebar dalam masa sama sempat lagi dia tambah order roti pisang. Rakus betul dia makan, serakus kata katanya yang terhambur. Dalam menusuk nusuk. Kejam.

"Jangan kau ulang lagi perangaimu dulu,lari dari asrama. Kau harus hadapi
ini! Apa kau ingat Michael Jordan terus menjadi bintang sejurus lahir?
Tahukah kau, kalau usahanya bisa dihitung menggunakan kilometer, sejauh
bumi ke bulan jaraknya. Dua tiga kali pergi balik Bu. Tak semudah itu, bukan sesenang yang kita sangka,ianya tak seperti yang kita baca."

Di saat anak anak muda lain sibuk mengendarai motor, kehulu hilir tiada
tujuan, meracau racau di jalanan, anak anak yang menguruskan kedai ini
terlebih dulu menemukan makna kehidupan. Berjaya memecahkan tembok kedewasaan, telah lama berkenalan dengan erti kesusahan, bersahabat dengan keperitan, tak pernah berhenti dari terus berusaha, tak mengenal putus asa. Aku kagum dalam malu. Kagum pada mereka yang berusaha tanpa mengenal erti penat lelah sekaligus malu kerana aku hanya semudah itu mahu menyerah.

Satu persatu suara pesimis ku tadi direnyuk kata kata Koyop. Kalau diibaratkan perlawanan bolasepak antara Jerman lawan Argentina tempoh hari, Jerman adalah kata kata motivasinya. Empat gol tanpa balas. Tentu sekali pesimisku adalah tim Argentina.

Di sekeping roti pisang itu aku temukan kembali sisa sisa semangatku
untuk meneruskan pengajian. Mata ku berkaca kaca. Kucarik roti pisang perlahan lahan, ku cicah susu dan ku telan. Manis. Semanis semangat ku kini yang kembali mendidih dibakar ayat motivasi Koyop.

Dalam perjalan pulang, pipiku basah. Aku ambil kembali sisa
semangat yang kulemparkan ke parit tadi satu persatu, kembali ku kutip
motivasi yang tercicir di jalanan. Kubersihkan dan kucantum. Yang pecah
berderai di padang hoki, kerana dipukul bertalu talu menghantam papan gol,
esok petang akan ku araldite semula kesemuanya.

Berkat semangat juang yang tak pernah kenal erti mengibarkan bendera putih, alhamdulillah aku berjaya mengembalikan keputusan pada semester tersebut di landasan yang betul, sekaligus PTPTN juga menunaikan janjinya. Dan semester berikutnya sekali lagi aku memaki hamun PTPTN kerana buat kali keduanya duit aku kena tahan.


I've missed more than 9000 shots in my career. I've lost almost 300 games. 26 times I've been trusted to take the game winning shot and missed. I've failed over and over and over again in my life. And that is why I succeed.Michael Jordan.

19 October 2010

Cerek Air Jahat.

Cerek air bergerak gerak, hidup. Malah saiznya adalah besar, sebesar almari. Dari muncungnya keluar asap panas berkepul kepul, manakala penutupnya kadang kadang terloncat loncat menghasilkan bunyi yang aneh. Ia secara perlahan dan misteri menghampiriku siap sedia ingin menelanku. Aku sedikit tertekan lantaran mengalami situasi yang tak pernah dialami ini. Malah lebih menakutkan dari menonton cerita pembunuh yang menggunakan mesin pengisar kayu untuk membunuh mangsanya yang pernah aku tonton ketika darjah 1.

Semacam pakatan, dalam masa yang sama dapat dirasakan suatu tekanan di bebola mata, bergulung gulung, semakin kuat dan besar semakin mencemaskan. Cerek dan tekanan itu berterusan ingin menelanku. Kombinasi nya kukuh dan jitu persis rumah yang dibangun menggunakan golden interlockin brick. Kuat dan kental.

Aku tak ingat hari apa, yang pasti pada masa itu aku masih bersekolah rendah, darjah 3 barangkali. Ketika demam badan kita lemah dan banyak anasir dari alam luar akan menganggu, begitu kata Umi. Dan aku selesa dan rasa selamat tidur di sebelah dia.

Aku masih gagal melelapkan mata kerana setiap kali kupejam, cerek tadi terus mengancamku. Di bucu bilik tidur ia masih bersikap aneh dan ingin menyerang, airnya menggelegak walhal plugnya sudah tercabut sejak semalam. Aku pernah juga berhalusinasi tentang benda lain dan ternyata peristiwa cerek yang tiba tiba berubah menjadi besar dan mengancamku adalah sesuatu yang paling menakutkan pernah kualami. Tak terbayangkan jika aku terus trauma dengan cerek air.

Sementara adikku di sebelah kelihatan sedang berusaha keras melawan kesejukan dengan merengkokkan badan, terpulas tanpa selimut. Dengan badan sekurus kukur kelapa, tanpa sedikit pon lemak tentu sekali dia kalah teruk dalam pertarungan tersebut. Sesekali kepalanya digeleng geleng, seolah olah tidak setuju apabila diajak berdamai. Dia ingin terus bertarung dengan kesejukan. Kelmarin sempat kami bergaduh kerana berebut untuk menyalakan ubat nyamuk.

Bukan, yang lebih dinanti adalah momen menghembuskan nyalaan api tadi supaya ubat nyamuk sekadar membara. Dan dia sangat gembira dapat menghembuskannya menggunakan hidung. Jengkel sekali. Kalau sepupu kami ada,kami lebih seronok tidur bersilang silang. Aku tahu kami sepupu kerana ayah kami dengan ayah sepupuku tadi adalah adik beradik, maksud aku kami berkongsi nenek.

Entah kenapa mimpi seperti itu datang lagi semalam. Dan semalam adalah hari ke-6 aku tidur pakai ear plug kerana rumah yang aku diami terletak bersebelahan generator. Betul betul disebelah. sejurus bangun dari tidur aku terdengar suara berdesing, berdengung dengung di telinga. Tetapi aku kurang pasti apakah bunyi itu datang dari mimpi atau sesudah aku mulai terbangun. Itulah yang sedang aku fikirkan selama mengamati kunci bilik tidur yang teroleng oleng di tiup kipas siling.

07 October 2010

Walimatul Urus.

Ustaz Amir seorang yang berkaliber, di bulan yang berakhiran -ber yang keempat pada tahun ini, genap 20 tahun dia memimpin jemaah sekaligus menjadi kepala masjid di kampung. Latar pendidikannya bukan calang, lulusan Universiti Al Azhar bidang syariah. Lulusan Al Azhar kawan, hebat bukan buatan. Unggul tiada tandingan.

Setiap katanya datang dari potongan ayat ayat Al Quran, sentiasa memberi teguran, yang salah diperbetulkan, mana yang baik digalakkan. Prinsip hidup amar maaruf nahi mungkar tertanam utuh dalam dirinya, tak lari jauh. Kehidupannya zuhud, seadanya. Hebat bukan?

Pernah sekali semasa kuliah maghrib, tajuk kuliahnya berkisar tentang
memenuhi jemputan walimatul urus. Satu perkataan, wajib. Hukumnya wajib. Diulang sekali lagi, wajib! Makanya bagi kami (kami adalah aku dan
beberapa orang kawan yang sejahil aku) tunduk patuh, sekaligus
setuju dengan kuliahnya.

Memandang caranya berpakaian, mendengarkan caranya berceramah sudah cukup untuk menggetarkan hati, belum lagi dibacakan isi kuliahnya. Usah banyak, lihat saja betapa besar serbannya, 60% sudah aku setuju apa yang akan diceramahkan. Wajahnya jernih dan bercayaha, bicaranya tenang dan
bersahaja. Menampakkan betapa tinggi ilmu yang dimiliki, sedalam jurang mariana barangkali, serapi ikatan serbannya.

Dia juga bukan seorang perokok, dan darinya aku belajar; orang yang baik dan ingin menasihatkan orang lain mestilah bukan seorang perokok. Kerana perokok mulutnya berbau busuk.

Pertama kali perkenalan aku dengan Ustaz Amir adalah ketika dia menangkap kami mengganggu anak anak gadis yang lalu lalang dengan membaling mercun ketika mereka melintasi jalan menuju ke masjid. Tak ada yang lebih seronok dari mendengar bunyi mercun meletup, diikuti jeritan histeria dan larian lintang pukang anak anak gadis tadi. Terbirit birit, deras cabut lari sambil kain disinsing tinggi.

Ketika azan bertempik di corong corong masjid, bersahutan mengajak umat menuju kemenangan, kami terlebih dulu meraikan kejayaan misi yang tak berapa penting tadi. Pada ketika itu aku mendapat pelajaran baru dari Ustaz Amir; membaling mercun kepada anak anak gadis yang ingin ke masjid adalah satu dosa. Apatah lagi membuat bising ketika azan berkumandang.

Sebelum sempat ceramah kilat tadi ditamatkan, mata Safri terlebih dulu berkaca. Bukan kerana insaf atau terkesan, apatah lagi rasa bersalah, tetapi kerana mengenangkan habuan yang bakal diterimanya nanti atas kejayaan kecil kami tadi. Ustaz Amir adalah kawan rapat ayahnya, dan pula rumah mereka adalah bersebelahan. Paling tidak tali pinggang atas belakang! Beruntung benar jika mood ayahnya dalam keadaan baik, tapi hukumannya tetap menjijikkan; tidur dalam reban ayam.

Sejajar dengan pesannya ketika ceramah dulu, kini bikin kepala aku pusing. Pening memikirkan kenduri mana yang patut aku hadiri, nun jauh di selatan semenanjung atau yang di Kuantan dan tarikh kenduri jatuh ada hari yang sama. Jarak antara keduanya dipisahkan oleh masa, tak sedikit waktu yang diperlukan kalau mahu ke dua-dua kenduri tersebut.

Inilah akibatnya kalau menuntut ilmu setengah jalan, ceramah belum lagi tamat, semua bertebaran ke kedai kopi.

Kesannya terlihat pada aku sekarang.

Oh! kepada siapa lagi semua ini harus dipertanggungjawapkan kalau bukan menteri pendidikan.

Ya, ini semua salah menteri pendidikan.

01 October 2010

Porken Sudah Kahwen.

Aku menyalami Porken. Jabat tangan yang kemas, ikhlas, sebagai ucapan
tahniah sekaligus tumpang berbangga.

Sambil meliriknya dengan sebuah pandangan, yang kalau ditafsirkan dengan
kata-kata,mungkin kurang lebih begini maksudnya;

"Ketahui olehmu Porken, kerja aku ini lebih sibuk dari Perdana Menteri
Malaysia yang ke-enam. Jadi kamu patut berbangga, dikalangan rakan sekelas
kita yang telah mendirikan rumahtangga, hanya kenduri kamu yang aku
hadiri. Hanya kamu!. Kamu patut tahu itu, betapa pentingnya kamu
melebihi kerjaku."

Kening yang diangkat angkat sebanyak dua kali pula bermaksud ini;

"Jadi usah kau berkira soal hutangku padamu itu, RM300 tidaklah seberapa
dibandingkan pengorbananku ini. Kira halal saja. Di hari berbahagia mu ini
akan lebih besar pahalanya dengan menghalalkan hutangku pada mu itu."

Tetapi Porken membalas dengan lirikan yang tidak bersahabat.
Sombong sekali.

"Ah! tahu apa kau akan urusan kewangan. Kau masih mentah, budak
hingusan, belum kahwen. Lihat saja seluar jeans mu itu, masih koyak
lutut seperti dulu. Dasar tak tahu masuk majlis, budak kampung!"
Tanganku di lepaskannya, penuh geram.

Aku tersentap. Porken ternyata berubah sepenuhnya setelah berkahwen.
Dia tak mudah bertoleransi seperti dulu lagi. Porken telah berubah.
Berubah sama sekali.

Tiba tiba asap memenuhi ruang tamu, makcik makcik, pakcik pakcik, dan
saudara mara pakcik makcik tadi sampai terbatuk batuk, kucing Porken
yang kurus dan kekurangan gizi itu juga terbatuk, semua terbatuk, mengibas
ngibas tangan tak sehaluan. Porken bertukar menjadi pahlawan viking,
lanun yang menguasai perairan Scandinavia, dadanya dibaluti baju besi
berkilat, menyilaukan jika terpantul cahaya, kapak panjang dan gedabak
yang tajamnya nauzubillah, terhunus kemas di tangannya diacukan ke leher
aku. Garang dan gagah.

"Sekali aku lirik kapak ini, putus kepalamu." Begitu maksud renungan bola
matanya. Isterinya yang bertukar menjadi permaisuri, juga tiada belas
kasihan, menempel di sebelah Porken.

"Rasakan kau! Jangan cuba cuba ambil kesempatan terhadap pahlawanku."
Sambil mencubit cubit lengan Porken, melepaskan geram. Nakal sekali.

*********************

Ingat kawan, jangan dibuat main dengan orang yang baru berkahwin,
terutama yang mendirikan mahligai menggunakan tabungan sendiri
dan bukannya pinjaman dari bank Rakyat! Duit adalah isu yang sensitif.
Apatah lagi jika mempelai itu baru saja menamatkan pengajian dan bekerja
tak lebih dari 3 tahun.

Ingat pesanku ini kawan. Catat dalam nota kecilmu!

15 September 2010

Cinta Suci Sekeras Gentian Karbon.

Pertama kali menatap matanya aku sudah terpikat, lenggok badannya ngiur,
mulus gebu kulitnya menggetarkan, tak percaya? lihat saja bibirnya,
pasti kau akan tergoda. Persis Lisa Surihani, malah tak keterlaluan jika
dikatakan seseksi Angelina Jolie.

Hubungan kami tak berlangsung lama, bertahan 4 tahun cuma. Tak mampu
ku pertahankan kau sekental Arai yang memburu kasih Zakiah Nurmala
(Sang Pemimpi). Maafkan aku. Lantaran aku kini kesibukan memenuhi
tuntutan kerja, dia kesunyian dan kesepian, dan seringkali mempersoalkan
hubungan kami, katanya aku dah tak sayangkannya lagi.

Benar kata Fynn Jamal, jangan biarkan sebesar zarah pon kekosongan di hati
orang yang kita sayang. Kerana nanti, kekosongan itu perlahan lahan akan
merangkak menuju keraguan, dibiarkan lagi terus ia berlari mendekati
kehancuran. Masih lagi tak diendahkan, keraguan tadi akan terjun bungee.
Terus menjunam. Dan pada masa itu, berdoalah tali yang kau pakaikan itu
kukuh,kuat dan bisa melantun kembali.

Tiada lagi yang boleh diselamatkan, nasi sudah menjadi bubur. (minta maaf,
frasa ini tersangat klise.)

Aku lebih tersiksa melihat kau menderita sebegini, lebih rela kau menjadi
milik orang lain dari terus melihat kau kecanduan cinta. Memang benar,
semenjak aku bekerjaya sudah jarang sekali kita jalan bersama, masa berbual
pon tak ada, apatah lagi untuk menari bersama. Ternyata masa menjadi
penghalang kita berdua, dan egonya masa, sekukuh ego kita berdua, sukar
sekali dirobohkan.

Atas rasa tanggungjawap itu, aku redha kau menjadi milik orang lain
jika orang itu juga seorang yang bertanggungjawap seperti ku. Aku rela jika itu
yang kau mahukan. Biarpun kini diceritakan saat aku membaluti lukamu,
memori aku membelai lembut rambutmu, masih tak akan mengubah
pendirianmu. Aku tak boleh nak buat apa, kalau kau yang mahu
menjanda. Aku hormati pendirianmu. Tiada apa yang dapat mengubah
keadaan lagi. Kau memang liat, hati kau keras.

Kini ku harap kau bahagia bersama Jhon. Dan aku bersyukur insan yang
memiliki mu itu tak kalah hebatnya. Ini terbukti dengan prestasi dia
kebelakangan ini semakin licik beraksi, semakin banyak gol dihadiahi.
Kau puas, kau gembira, kerana kembali mendapatkan cinta sejati
mu itu. Cinta yang kau dahagakan selama ini.

Oh ya, GX7000. Jika kau membaca entri ini, dan tertanya tanya akan
keadaan aku, usah kau risau dan bimbang. Usah kau ragu dan tak makan.
Ingat apa katamu dulu? Makan demi menjaga kesihatan, supaya beroleh
kekuatan. Aku kini bahagia seadanya.

Namun ingin kunyatakan disini, perkenalan singkat dengan mu itu, terpahat
selamanya di hati ini.

Lihat saja, betapa berpengaruhnya cintamu, susur galur yang baru bertakhta
di hati ku masih dari keturunanmu. Tak jauh beza cuma dia sedikit muda.

GX4000. Nama kekasih baruku adalah Grays GX4000.

Tentu sekali kau kenal dia bukan?

Jika berkesempatan, minggu depan datanglah ke Stadium Hoki Kuala
Lumpur untuk melihat kami berlari lari di padang rumput hijau nan
luas sebagai bukti kebahagian kami kini.

Sampai ketemu lagi.


Yang masih mencintaimu,

(Cinta suci sekeras gentian karbon)


Nota bawah: Jam 7 malam ya, jangan lupa Selasa nanti. Akan aku buktikan
padamu, betapa aku kini bahagia.

07 September 2010

Doa Blackberry Untuk Abah.

'Nah Abah, henset Blackberry. Henset yang Abah nak'

'Canggih henset ni bah, boleh main internet, boleh email, messenger bila bila masa.'

'Ni nanti tinggal tekan ni, terus email masuk henset, boleh terus balas. Yahoo Messenger pon boleh.'

Abah gembira bukan kepalang. Senyumnya lain macam. Meleret leret tak dapat dibendung. Di sekitar hatinya tumbuh bunga ros yang berbau wangi, melata menghiasai. Tidurnya diulit senyum, kalau bangun tidur dia akan ketawa. Begitulah.

Reaksi macam ni pernah aku lihat ketika dia di belikan komputer riba oleh abang sulungku. Semacam sama reaksinya.

Tercetus atas sebab yang sama. Gembira. Gembira kerana mendapat sesuatu yang dihadiahkan seseorang, dan hadiah itu pula telah lama di idamkan dan dipendam. Hebat sungguh kesan sebuah hadiah kepada orang orang biasa seperti kami.

Kerana Abah tipikal orang melayu, penjawat awam yang mempunyai anak berderet deret macam pagar, banyak keinginannya untuk memiliki sesuatu terpaksa ditahan lantaran memenuhi tanggungjawap terhadap anak anak yang berderet tadi. Setiap permintaan kami anak beranak, dipenuhinya, tak pernah dikatakan tidak.

'Nanti Abah usahakan.'

'Nanti Abah cari.'

'Rezeki itu punya tuhan, bukan diberi kerajaan.'

Nah, sungguh memotivasikan, setiap kali kami minta belikan buku, minta duit untuk ikut lawatan sekolah, bayar yuran taekwando, malah yuran universiti aku ketika pinjaman ditahan oleh PTPTN. Bukan sedikit nilai RM800 tu kawan, terutama bagi hamba kerajaan kelompok abah. Biar kadang kadang tahu,sememangnya abah tak mampu, tapi cukup dengan mendengar ayat keramat dari mulutnya membuatkan kami kembali ceria, seolah diberikan harapan hidup semula. Hebat.

Gaji Abah setiap bulan, ditolak pinjaman perumahan Angkasa, pinjaman kereta, potongan pinjaman bank, potongan koperasi perubatan, bayar pakej kedai kopi minum dulu bayar kemudian, tinggal kurang lebih RM200 tak termasuk potongan tak rasmi lain yang tak dicetak di slip gaji. Tapi melihat kami adik beradik masih hidup, belum ada yang mati kebuluran, maka aku yakin akan katanya yang rezeki itu punya tuhan, bukan kerajaan. Makanya abah akan bising dan marah marah jika jadual kerja lebih masa nya dikurangkan tak lain tak bukan kerana cinta dan kasihnya kepada kami anak beranak. Bangkit bekerja seawal pukul 7 pagi, pulang sehingga tengah malam, esoknya kerja lagi. Kerana kami. Hanya untuk membesarkan kami.

Tapi itu semua tak sempat berlaku. Aku tak dapat mencium bau bunga ros yang tumbuh di sekeliling hatinya kerana gembira. Aku tak sempat melihat senyumnya yang meleret leret sampai ke malam. Aku tak bisa lihat dia takjub menceritakan fungsi setiap butang yang ada di henset Blackberry kepada Ummi. Ilmu yang tak dikuasai akan menjelma di dalam diri manusia menjadi sebuah ketakutan. Itulah sebaliknya yang terjadi kepada Ummi, kalau boleh digambarkan hubungannya dengan teknologi dan alat alat elektronik yang lain.

Abah disapa malaikat maut ketika aku masih sibuk-sibuk menyiapkan tesis di tahun akhir universiti. Aku malah tak sempat melihat wajahnya buat kali terakhir lantaran tiba di kampung asar besoknya sedangkan jenazah sudah disolat, dan dikebumikan selesai solat zohor. Aku menangis. Ya, hanya mampu menangis sambil teresak esak memegang tangan ummi. Sebak yang tak tertahan. Bercucuran tidak dirancang.

Satu-satu memori datang bertenggek. Teringat ketika dikejutkan sahur oleh abah, ditarik tarik ibu jari kaki sampai aku tersedar. Ketika abah bersusah payah meminjam wang untuk menghantar aku masuk matrik di Langkawi. Atau ketika abah menenun kopiah sambil memerhatikan anak anak nya bermain. Malah ketika aku membuat tindakan drastik semacam orang gila untuk keluar dari sekolah asrama tanpa berbincang dengannya, langsung tak dia persoalkan, dia lagi sibuk sibuk kesana kemari naik turun bangunan sekolah untuk daftarkan sekolah baru untukku.

Memori yang datang silih berganti menambahkan lagi rasa pilu dan sebak. Seolah itu semua baru semalam terjadi. Lebih tersedu ketika ummi memujukku, mengusap usap rambutku dengan pebuh naluri keibuan dan meminta ku bersabar, menerima pemergian abah dengan lapang.

Tak mampu ku bendung, beberapa bulan sahaja lagi aku akan tamat pengajian, aku akan cari kerja dan belikan abah henset blackberry.

Tapi dia pergi dulu, pergi tanpa mengucapkan salam. Dan kini aku rindu. Rindu untuk mengirimkan wang setiap bulan kepada abah, supaya abah tahu sekarang ini anaknya sudah bekerja. Rindu mencium bau surya yang sebati dengan dirinya. Malah rindu untuk pekena roti canai gearbox di depan sekolah bersama sama.

Tak apa abah, aku terima semua ini dengan redha. Walaupun tak dapat kuhadiahkan henset canggih itu, sekarang malah kita ada medium yang lebih canggih. Yang bisa menghubungkan orang di alam yang berbeza. Aku masih boleh kirim 'sms' untuk abah.

Doa. Ya, dengan doa.

Tuhan itu lebih maha canggih.

R.I.P

03 September 2010

KTM Komuter.

08 August 2010

Lapar.




Gedegang..!

Dua tong minyak aku tumpahkan. Ruangan bilik turbin dipenuhi minyak hitam bercampur minyak yang masih belum digunapakai. Berselerak.

Rasa marah mengatasi rasa lapar. Sisa sisa tenaga yang ada aku gunakan untuk mengangkat tukul besar dan menghentam mozek mozek di bilik turbin. Pecah berderai. Dua orang operatornya lari bergelimpangan malah sikit tersungkur terpijak minyak yang berceceran di lantai. Kasutnya yang tercabut juga tak dihiraukan. Disaat seperti itu nyawa lebih penting untuk diselamatkan.

Cermin bilik kontrol panel juga terburai pecah dibaling spanar. Skrew skrew hitam high tensile berukuran 46 milimeter aku lemparkan ke panel sehingga terjadinya percikan api. Suasana berantakan. Api yang tercetus memarakkan lagi perasaan.

"Nah,rasakan kalian. Kau suruh aku kerja tapi makan tak di sediakan.Cilaka" Marahku kini tak dapat dibendung lagi.

Peluh membasahi tubuh,badan dikotori minyak hitam. Sesekali titik titik masin mengalir ke mulut. Dengusan nafas semakin laju. Dada turun naik tak terkawal.

Dari jauh kelihatan beberapa pekerja kalut memegang telefon genggam,bersms, berbisik bisik sesama sendiri. Tidak seorang pon berani mendekati. Sekadar memerhati dari jauh, tak kurang yang berlari lari kesana kemari.

Segera aku ambil kotak yang mengandungi skrew dan washer, untuk dimasukkan ke dalam alternator turbin yang kini sedang berpusing laju. Biar meletup. Biar hancur alternator. Biar terkubur semua. Biar puas hati aku.

Saat aku menanggalkan klip filter udara alternator, terasa bahuku dicuit, laluku bingkas mereng ke kanan dengan wajah menyinga. Mata jegil kemerahan.

"Pak..pak.." Suaranya sayup sayup kedengaran.

"Bangun pak..Ini mobilnya sudah sampai. Bapak mau pulang ngak? Yuk,saya hantarkan ke mess."

"Oh! Pak supir, lama saya tunggu. Kemana tadi?"

"Maaf pak,saya lagi ke kota. Jemput tamu. Pulang yuk"

"Yuk! Enak juga ya tidur di bilik kontrol panel ni,ada aircond."

Pak supir sekadar sengih. Kami sama sama menuju ke Mitsubishi Strada yang sedia menanti.

"Menu apa ya bibik masak hari ni..?" aku berkira kira dalam hati.


Nota bawah : Perut yang lapar, bilik aircond adalah pakej lengkap untuk tidur di tengah hari sewaktu kerja...di bulan puasa.

28 July 2010

Arab dan Bolasepak.


Kepala terasa berat dan pusing. Mungkin disebabkan kurang tidur, ditambah lagi memikirkan kerja yang diberikan pensyarah belum lagi disiapkan. Kata doktor kalau kurang tidur, hidung akan berair dan badan kurang selesa, ini menguatkan lagi fakta sememangnya aku kurang tidur memandangkan hingus telah berjejer hampir memasuki mulut yang sengaja kubiarkan.

2 biji loratadine dan pseudophrine ternyata membantuku untuk tidur nyenyak walaupun tekakku terasa kering dan haus saat sedar dari lena. Setiap pagi.

Pintu bilikku terkuak sedikit, satu satunya ruang yang membenarkan cahaya masuk, menyilaukan mata. Tingkap semua dah ditutupi dengan kain pelikat yang dibeli semasa belajar di Langkawi dulu. Itulah satu satunya kukira oleh oleh yang dapat dilihat dan berguna masih ku simpan. Aku bangga menjadi pengguna yang bijak dengan membeli benda yang banyak kegunaan seperti kain pelikat.

Terasa ngilu di mata tatkala cahaya menerobos terus ke retina setelah sekian lama bergelap. Mata yang digenyeh berair dan merah, cuba menyesuaikan diri dengan bangkit dari zon selesa. Memang perit dan sulit untuk bangun dari tidur setelah sekian lama meninggalkan arena sekolah asrama yang segala aktivitinya berpandukan bunyi loceng. Di universiti takde loceng, itu yang susah sikit.

Dari kesunyian pagi yang bening dapat ku tangkap bunyi semacam bacaan ayat ayat suci al quran dari luar, tak dapat kupastikan dari mana datangnya. Nadanya menjerit jerit tak tentu hala.

Koyop yang leka dibuai Teratak Ana di ruang tamu tak kuhiraukan. Rasa anti juga dengan dia, terlalu asyik memuisi sampai hilang dari dunia sekitar. Masakan tak didengar teriakan ayat ayat suci sembarangan begitu.

"Nak mengaji buat cara ngaji, jangan main main." Getusku di dalam hati,membara sambil mengetap bibir.

"Hoi!" Jeritku tanpa basa basi sambil menendang pintu bilik Sopi.

"Awat?" Sopi terlopong, nyaris rokok daun tembakau kampung terlucut dari bibirnya.

Dia yang hanya bertuala dan tak berbaju memandangku kehairanan dengan tangan masih memegang tetikus. Di skrin komputernya dapat dilihat Ronaldo gemuk beraksi di zaman kegemilangannya ketika dia masih kurus. Kukira klip himpunan jaringan sepanjang zaman kegemilangannya, diiringi komentator berbahasa arab.

06 June 2010

Batu Kecubung.


Air cap penumbuk


Aku rasa Pak Ah Kheng ni orang nombor satu, dengan kata lain dia yang incas semua benda kat sini. Apa apa hal orang tanya dia dulu. Kalau disuruh bikin paip bentuk S, maka S lah, kalau bentuk U, mesti U, begitulah seterusnya bentuk apa pon.

Tambah tak syak lagi yang dia ni orang paling besar projek sebab aku pernah lihat dia panggil orang dengan hoi..! hoi..! sahaja. Cuba kalau aku yang buat macam tu, maunya nanti melayang spanar 46 atas kepala.

Berbalik pada cerita batu kecubung, semasa tengah pekena singkong bersama sama Pak Ah Kheng sambil minum kopi, dia cerita la sikit sikit tentang ikan jelawat. Sedap katanya.

Pesannya lagi kalau nak beli batu kecubung buat mata cincin, mesti tengok keaslian batu dengan rendam dalam air. Kalau batu asli, akan berkilau dan ada urat urat. Memang jelas terpancar keasliannya.

'Kalau tak berkilau berurat itu kecabung bukan kecubung.'

'Ha..ha..ha..ha..'

Tawa Pak Ah Kheng dan Sapta Oktora pecah berderai.

Sebelum pada tu sempat dia mengomel pasal facebooknya yang dah sebulan tak dikemaskini.

Rasa air kopi yang kelat lain macam buat tekak aku rasa tak sedap. Lagi pon tengah penat, baru pulang dari kerja, jadi takde mood sangat nak sembang lebih lebih dengan orang orang tua. Lalu aku biarkan Pak Ah Kheng dengan cincin batu kecubungnya.

Sebelum sampai rumah aku singgah kedai beli air cap penumbuk.

Kat rumah terus landing atas sofa sambil kipas pada kelajuan maksima ditala terus ke dada. Tengah panas berpeluh duduk depan kipas memang nikmat, rasa macam scene Leornado Dicaprio depa tangan layan angin dalam filem Titanic.

23 April 2010

Tragis.


Penjaga pengandung tekanan berapi (Boilerman)

Keadaan tempat kerja sangat bising, di paras 100dB. Kalau tak pakai earplug telinga boleh berdesing sampai seminggu, itu yang tangan rasa nak hayun je kalau mamak yang ambil order banyak songeh.

Dahla bising, panas, berhabuk, kalau jenis kontraktor buat hal lagi teruk. Boleh mendidih dalam dan luar. Dalam keadaan macam ni buat kerja nak cepat setel, cepat report dan cepat balik.

Tools semua main campak campak, takde nak letak elok elok. Sopan santun yang cikgu ajar masa sekolah rendah dulu hilang tah kemana. Situasi menguasai diri.

'Spanar tu lain kali jangan main campak campak, letak elok elok. Takde spanar ni kita tak boleh buat kerja, tak kerja takde duit.'

Ayat ni aku ingat lagi masa kena sound dulu. Sungguh menyayat hati, serta merta aku insaf.

Dua tiga titis air suam mengalir keluar dari mata.

26 March 2010

Lagha.

Aku cuti hari ni.

Habiskan cuti yang masih berbaki sehari untuk tahun lepas. Dah rancang baik punya nak kemas rumah, mop lantai, cuci tandas, sapu sapu bilik, buang sampah yang dah berulat.

Baju pon bertimbun belum basuh lagi. Kasi bersih sikit bilik tidur ni, takde la asyik bersin je. Banyak sangat habuk. Dah bersih nanti baru sedap tidur. Emm..

Pagi tu aku mula kemas benda benda ringan dulu. Cari mood orang kata. Kemas benda benda maya. Aku kemas blog, facebook, flickr je dah dua, deviantart, myspace, friendster, kemas email, delete surat surat tak penting dan tak patut, banyak sangat spam, asingkan yang penting dan letak dalam satu folder khas.

Mana mana surat dan komen peminat yang agak agak kena balas tu, aku balas.

Masalahnya sampai petang pon tak siap siap lagi.

Makan masa juga kerja kerja kemas benda maya ni rupanya.

Memang betul orang cakap internet ni lagha.

Ada sekali aku cari tetikus, dua hari baru jumpa. Itupon kebetulan terjumpa dalam cerek air masa nak masak megi.

23 March 2010

Mativisi.




Aku rekemen buku ni kepada siapa siapa yang selalu kena marah dengan bos atau bos yang ada penyakit tak boleh tidur malam dan selalu marah pekerjanya.

Mereka yang dah masuk 15 jenis MLM tapi belum kaya kaya lagi malah hutang sana sini.

Untuk mereka yang selalu datang kerja pukul 10 pagi tapi pukul 11 dah keluar makan tengah hari.

Ketagih benda benda tak patut sampai lupa jalan balik ke rumah sendiri.

Atau yang selalu rasa tak puas hati, komplen tak henti henti.

Orang politik bengap yang suka manipulasi, keluar tivi tiap tiap hari.

Polis yang tahan kereta orang lepas tu buat buat tulis saman sambil tanya kita macam mana nak setel.

Untuk semua yang ada duit saku lebih, tapi sikit motivasi.

Kepada yang tak berhajat nak beli, tapi berminat nak baca, dan ingin pinjam aku punya: sila tinggalkan pesanan disini.

Nota bawah: 7 habit je yang aku ada buat masa ni, satu lagi tu belum beli dan belum baca lagi.

21 March 2010

Syaiton Merah Lawan Cap Ayam.




Harap Gerrard menyerlah malam ni.

Sangat penting untuk Liverpool menang.

Penting juga kepada Arsenal yang sebenarnya.

10 March 2010

Troli.



Orait juga kerja susun troli ni.

Kerja mesti kat bandar bandar punya.

Lagipon tak perlu outstation.

04 March 2010

Makanan Segera.

Zaraki Kenpachi

Zaraki Kenpachi dah bukak bisnes jual ayam goreng herba.



Pizza Hut, Mcdonalds, KFC, Burger King, Chili's, Chicken Rice Shop.

Semua makanan kat sini sedap.

Keadaan kedai pon bersih dan menarik.

Cuma satu je yang tak best.

Pencungkil gigi tak disediakan.

03 March 2010

Demonstrasi.




Setakat demonstrasi pijak kepala lembu, campak kepala babi, jerit jerit sambil angkat sepanduk tak tentu hala tu semua tak true. Buat ini macam la kalau berani.

Amacam pendemonstrasi..?

Orang gila politik semua..?

Ada berani..?

22 February 2010

Pemetik api

Ini lighter bukan setakat cucuh rokok, cucuh perokok pon boleh.

11 February 2010

Grays GX7000.

Grays GX7000 untuk dijual.






GRAYS GX7000 year 2006 for sale.

1 Malay owner.

Length 93mm.

Medium weight.

Graphite kevlar construction.

Tip top condition.

Well maintain.

Clean and less scratch.

Like new and rarely use.

MAXI head 4, excellent for drag flicks skills.

Free new grip.


The Grays GX7000 Composite Field Hockey Stick generates more power than any other stick in the composite line. It's composed solely of carbon and aramid. Optimum weight to balance ratio for exceptional power. Great balance and feel. Maxi toe.

05 February 2010

Potret Keluarga Ayah Pin.

02 February 2010

Kayu Hoki.

Malik composite. RM200~RM400, harga belum kawtim.

Malik kayu salut gentian diperkuat (fiber reinforced).


GS Gill kat jalan TAR ada buat jualan murah bagi kayu hoki berjenama Malik. Potongan sehingga 50% dan harga boleh kawtim lagi tokey dia kata. Janji pandai ayat.

Gangster jalanan, pembuat lemang, pendemonstrasi, dan pemain hoki terutamanya sila ambil perhatian.

Benda ni juga boleh digunakan sebagai senjata untuk mempertahankan diri, elok disimpan di dalam kereta bagi kegunaan semasa kecemasan. Makcik makcik disarankan beli seorang satu.

Selain itu, bagi mereka yang kreatif tahap IKEA, kayu hoki akan dijadikan tempat sidai baju.

01 February 2010

EK-ASIA vs LEMAS


LEMAS promosi tiket balik Kelate.


Harga Get The Deal.


Harga biasa.


Harga EK ASIA yang dah tak berapa nak murah.


EK-ASIA dah tak murah macam dulu lagi. Sekarang ni kalau nak ke mana mana destinasi lebih baik bandingkan harga dulu ngan LEMAS Get The Deal sebelum tempah kat EK-ASIA.

Dulu sempat la merasa zaman EKASIA betul betul murah, sampai LEMAS pon nyaris jatuh bangkrap.

Mungkin sekarang dah tak murah sebab taiko EK ASIA nak pakai duit tuk projek kereta formula 1 1Malaysia. Nak ambil alih pasukan West Ham United tu pon pakai duit juga.

Nota bawah: Kalau gambar tu tak berapa nak jelas, boleh pakai screen magnifier tuk besarkan atau klik gambar dan otomatik dia akan besar.

26 January 2010

Gatorade.



Di rak dilabelkan RM2.50, tapi dibotol pula RM2.60

Sebelum dia imbas harga dalam sistem sempat aku bertanya, harga sebenar yang mana satu.

Katanya harga di botol adalah yang betul, RM2.60.

Setelah di imbas, ternyata harganya adalah RM2.60.

Aku setuju dan bayar RM2.60.

Esoknya di 7 Eleven yang lain aku beli air yang sama.

Masing masing label di rak dan botol adalah RM2.50 dan kali ni aku tak tanya. Bila imbas tertera RM2.60.

'Eh, sini label RM2.50 je..' aku buat buat terkejut.

Awek yang jaga mesin tekan tekan dah panik dan muka kelihatan serba salah.

'Aku nak bayar RM2.50!' Aku buat muka garang nak gaduh sambil selak lengan baju menampakkan tatu naga di bahu.

Dengan penuh ketakutan, dia bersetuju dengan harga yang dilabelkan di botol dan terpaksa menanggung kerugian sebanyak 10sen disebabkan tabiat malas nak tukar label.

Nasib baik aku gangster dan tak mudah diperkotak katik.

Cis!

22 January 2010

Sepi.



Barang baik untuk dikongsi.

16 January 2010

Hujan Lebat.

musicangel071@deviantart


Kawan | Mandi hujanla, sedap sikit. Heeee.

Aku | Sedap sikit je,tak sedapnya lagi banyak.

11 January 2010

Ulangtahun (Separuh Masa Pertama)

Jikalau tepat pendapat purata hidup seseorang setakat 60 tahun.

Aku ada beberapa minit sahaja lagi untuk habiskan separuh masa pertama.

Akan berusaha untuk menjaringkan gol sebelum tamat separuh masa.


Nota bawah: Susah betul nak tipu umur kat mukabuku. Ramai rakan setingkatan.

08 January 2010

Naik Keretapi Di Tahun Baru.




Keretapi ekspress berbeza sikit berbanding keretapi local/biasa. Bagi yang tak pernah naik, cuba bayangkan beza bas ekspress dengan bas mini.

Camtu la kurang lebih beza keretapi ekspress dengan yang local/biasa. Ekspress selalunya berhenti di stesen stesen besar sahaja, ataupun stesen yang ada orang nak turun.

Kalau dikira dari kelajuan, memang keretapi kurang berdaya saing jika dibandingkan dengan pengangkutan lain. Tetapi kalau laju macam bas sampai langgar pembahagi jalan pon tak guna juga kan?

Satu lagi yang seronok sebab ada kantin. Dalam bas mana ada. Nak pekena kopi atas keretapi sedikit mencabar. Lagila kalau keretapi tengah layan selekoh. Orang berdiri pon boleh jatuh, inikan pula nak ejas bibir cawan bagi ngam masuk mulut. Silap hari bulan boleh terminum kopi ikut lubang hidung. Yang tumpah tak payah cakapla. Harga secawan boleh cecah sampi RM2. Nasi pula RM5.


Kalau nak berdiri pon susah, bayangkan sendiri la macam mana nak buang air besar. Malas aku nak cerita. Lagi 1 tandas hanya boleh digunakan semasa tren bergerak. Mencabar betul.

Untuk mengelakkan bosan, mestilah bijak merancang aktiviti semasa dalam perjalanan. Misalnya jika tempoh perjalanan mengambil masa 7 jam, 3 jam pertama digunakan untuk tidur, 1 jam berulang alik dari koc depan sampai hujung, 3 jam lagi untuk layan angin segar sambil makan donat dengan pintu terbuka. Heh!

Setakat entri ini ditaip, ranking keretapi paling laju dipegang oleh negara China, dengan kelajuan 395 kilometer sejam. Kalah Shinkansen kat Jepun.

Pada kelajuan tersebut aku boleh balik Kelantan dari Kuala Lumpur dalam masa 2 jam sahaja. Laju betul. Disebabkan Malaysia tiada keretapi laju lagi, maka tempoh aku balik Kelantan adalah 12 jam buat masa ini. Cilake, KTMB tak sedar ke masa itu emas?

Kalau ada niat nak naik keretapi ekspress antarabandar lepas ni, satu je aku nak pesan; jaga jaga dengan brader yang suka lepak dan hisap rokok tepi pintu koc dengan pintu terbuka. Jaga Jaga!

04 January 2010

Sarapan Percuma.


Sarapan disediakan dari pukul 7 hingga 10 pagi sahaja.

'Cantek..boleh jimat duit!'

Hari pertama: Bangun pukul 10.30 pagi.

Hari kedua: Bangun pukul 11.00 pagi.

Hari ketiga: Bangun pukul 9.55 pagi.



Backpackers Hostel Tresor Tavern

Singapura

02 January 2010

Kembara Ketapi.


Lagi 5 minit nak sampai stesen Woodlands Singapura.

Kunyah gula gula getah laju laju.

Buang sebelum turun dari ketapi.