Pages

28 July 2010

Arab dan Bolasepak.


Kepala terasa berat dan pusing. Mungkin disebabkan kurang tidur, ditambah lagi memikirkan kerja yang diberikan pensyarah belum lagi disiapkan. Kata doktor kalau kurang tidur, hidung akan berair dan badan kurang selesa, ini menguatkan lagi fakta sememangnya aku kurang tidur memandangkan hingus telah berjejer hampir memasuki mulut yang sengaja kubiarkan.

2 biji loratadine dan pseudophrine ternyata membantuku untuk tidur nyenyak walaupun tekakku terasa kering dan haus saat sedar dari lena. Setiap pagi.

Pintu bilikku terkuak sedikit, satu satunya ruang yang membenarkan cahaya masuk, menyilaukan mata. Tingkap semua dah ditutupi dengan kain pelikat yang dibeli semasa belajar di Langkawi dulu. Itulah satu satunya kukira oleh oleh yang dapat dilihat dan berguna masih ku simpan. Aku bangga menjadi pengguna yang bijak dengan membeli benda yang banyak kegunaan seperti kain pelikat.

Terasa ngilu di mata tatkala cahaya menerobos terus ke retina setelah sekian lama bergelap. Mata yang digenyeh berair dan merah, cuba menyesuaikan diri dengan bangkit dari zon selesa. Memang perit dan sulit untuk bangun dari tidur setelah sekian lama meninggalkan arena sekolah asrama yang segala aktivitinya berpandukan bunyi loceng. Di universiti takde loceng, itu yang susah sikit.

Dari kesunyian pagi yang bening dapat ku tangkap bunyi semacam bacaan ayat ayat suci al quran dari luar, tak dapat kupastikan dari mana datangnya. Nadanya menjerit jerit tak tentu hala.

Koyop yang leka dibuai Teratak Ana di ruang tamu tak kuhiraukan. Rasa anti juga dengan dia, terlalu asyik memuisi sampai hilang dari dunia sekitar. Masakan tak didengar teriakan ayat ayat suci sembarangan begitu.

"Nak mengaji buat cara ngaji, jangan main main." Getusku di dalam hati,membara sambil mengetap bibir.

"Hoi!" Jeritku tanpa basa basi sambil menendang pintu bilik Sopi.

"Awat?" Sopi terlopong, nyaris rokok daun tembakau kampung terlucut dari bibirnya.

Dia yang hanya bertuala dan tak berbaju memandangku kehairanan dengan tangan masih memegang tetikus. Di skrin komputernya dapat dilihat Ronaldo gemuk beraksi di zaman kegemilangannya ketika dia masih kurus. Kukira klip himpunan jaringan sepanjang zaman kegemilangannya, diiringi komentator berbahasa arab.