Pages

15 September 2010

Cinta Suci Sekeras Gentian Karbon.

Pertama kali menatap matanya aku sudah terpikat, lenggok badannya ngiur,
mulus gebu kulitnya menggetarkan, tak percaya? lihat saja bibirnya,
pasti kau akan tergoda. Persis Lisa Surihani, malah tak keterlaluan jika
dikatakan seseksi Angelina Jolie.

Hubungan kami tak berlangsung lama, bertahan 4 tahun cuma. Tak mampu
ku pertahankan kau sekental Arai yang memburu kasih Zakiah Nurmala
(Sang Pemimpi). Maafkan aku. Lantaran aku kini kesibukan memenuhi
tuntutan kerja, dia kesunyian dan kesepian, dan seringkali mempersoalkan
hubungan kami, katanya aku dah tak sayangkannya lagi.

Benar kata Fynn Jamal, jangan biarkan sebesar zarah pon kekosongan di hati
orang yang kita sayang. Kerana nanti, kekosongan itu perlahan lahan akan
merangkak menuju keraguan, dibiarkan lagi terus ia berlari mendekati
kehancuran. Masih lagi tak diendahkan, keraguan tadi akan terjun bungee.
Terus menjunam. Dan pada masa itu, berdoalah tali yang kau pakaikan itu
kukuh,kuat dan bisa melantun kembali.

Tiada lagi yang boleh diselamatkan, nasi sudah menjadi bubur. (minta maaf,
frasa ini tersangat klise.)

Aku lebih tersiksa melihat kau menderita sebegini, lebih rela kau menjadi
milik orang lain dari terus melihat kau kecanduan cinta. Memang benar,
semenjak aku bekerjaya sudah jarang sekali kita jalan bersama, masa berbual
pon tak ada, apatah lagi untuk menari bersama. Ternyata masa menjadi
penghalang kita berdua, dan egonya masa, sekukuh ego kita berdua, sukar
sekali dirobohkan.

Atas rasa tanggungjawap itu, aku redha kau menjadi milik orang lain
jika orang itu juga seorang yang bertanggungjawap seperti ku. Aku rela jika itu
yang kau mahukan. Biarpun kini diceritakan saat aku membaluti lukamu,
memori aku membelai lembut rambutmu, masih tak akan mengubah
pendirianmu. Aku tak boleh nak buat apa, kalau kau yang mahu
menjanda. Aku hormati pendirianmu. Tiada apa yang dapat mengubah
keadaan lagi. Kau memang liat, hati kau keras.

Kini ku harap kau bahagia bersama Jhon. Dan aku bersyukur insan yang
memiliki mu itu tak kalah hebatnya. Ini terbukti dengan prestasi dia
kebelakangan ini semakin licik beraksi, semakin banyak gol dihadiahi.
Kau puas, kau gembira, kerana kembali mendapatkan cinta sejati
mu itu. Cinta yang kau dahagakan selama ini.

Oh ya, GX7000. Jika kau membaca entri ini, dan tertanya tanya akan
keadaan aku, usah kau risau dan bimbang. Usah kau ragu dan tak makan.
Ingat apa katamu dulu? Makan demi menjaga kesihatan, supaya beroleh
kekuatan. Aku kini bahagia seadanya.

Namun ingin kunyatakan disini, perkenalan singkat dengan mu itu, terpahat
selamanya di hati ini.

Lihat saja, betapa berpengaruhnya cintamu, susur galur yang baru bertakhta
di hati ku masih dari keturunanmu. Tak jauh beza cuma dia sedikit muda.

GX4000. Nama kekasih baruku adalah Grays GX4000.

Tentu sekali kau kenal dia bukan?

Jika berkesempatan, minggu depan datanglah ke Stadium Hoki Kuala
Lumpur untuk melihat kami berlari lari di padang rumput hijau nan
luas sebagai bukti kebahagian kami kini.

Sampai ketemu lagi.


Yang masih mencintaimu,

(Cinta suci sekeras gentian karbon)


Nota bawah: Jam 7 malam ya, jangan lupa Selasa nanti. Akan aku buktikan
padamu, betapa aku kini bahagia.

2 contengan:

Anonymous said...

go gx4000! Haha

Anonymous said...

jangan selalu tukar tukar 'awek' ya.
nanti kudis kat tangan.

Post a Comment