Pages

07 September 2010

Doa Blackberry Untuk Abah.

'Nah Abah, henset Blackberry. Henset yang Abah nak'

'Canggih henset ni bah, boleh main internet, boleh email, messenger bila bila masa.'

'Ni nanti tinggal tekan ni, terus email masuk henset, boleh terus balas. Yahoo Messenger pon boleh.'

Abah gembira bukan kepalang. Senyumnya lain macam. Meleret leret tak dapat dibendung. Di sekitar hatinya tumbuh bunga ros yang berbau wangi, melata menghiasai. Tidurnya diulit senyum, kalau bangun tidur dia akan ketawa. Begitulah.

Reaksi macam ni pernah aku lihat ketika dia di belikan komputer riba oleh abang sulungku. Semacam sama reaksinya.

Tercetus atas sebab yang sama. Gembira. Gembira kerana mendapat sesuatu yang dihadiahkan seseorang, dan hadiah itu pula telah lama di idamkan dan dipendam. Hebat sungguh kesan sebuah hadiah kepada orang orang biasa seperti kami.

Kerana Abah tipikal orang melayu, penjawat awam yang mempunyai anak berderet deret macam pagar, banyak keinginannya untuk memiliki sesuatu terpaksa ditahan lantaran memenuhi tanggungjawap terhadap anak anak yang berderet tadi. Setiap permintaan kami anak beranak, dipenuhinya, tak pernah dikatakan tidak.

'Nanti Abah usahakan.'

'Nanti Abah cari.'

'Rezeki itu punya tuhan, bukan diberi kerajaan.'

Nah, sungguh memotivasikan, setiap kali kami minta belikan buku, minta duit untuk ikut lawatan sekolah, bayar yuran taekwando, malah yuran universiti aku ketika pinjaman ditahan oleh PTPTN. Bukan sedikit nilai RM800 tu kawan, terutama bagi hamba kerajaan kelompok abah. Biar kadang kadang tahu,sememangnya abah tak mampu, tapi cukup dengan mendengar ayat keramat dari mulutnya membuatkan kami kembali ceria, seolah diberikan harapan hidup semula. Hebat.

Gaji Abah setiap bulan, ditolak pinjaman perumahan Angkasa, pinjaman kereta, potongan pinjaman bank, potongan koperasi perubatan, bayar pakej kedai kopi minum dulu bayar kemudian, tinggal kurang lebih RM200 tak termasuk potongan tak rasmi lain yang tak dicetak di slip gaji. Tapi melihat kami adik beradik masih hidup, belum ada yang mati kebuluran, maka aku yakin akan katanya yang rezeki itu punya tuhan, bukan kerajaan. Makanya abah akan bising dan marah marah jika jadual kerja lebih masa nya dikurangkan tak lain tak bukan kerana cinta dan kasihnya kepada kami anak beranak. Bangkit bekerja seawal pukul 7 pagi, pulang sehingga tengah malam, esoknya kerja lagi. Kerana kami. Hanya untuk membesarkan kami.

Tapi itu semua tak sempat berlaku. Aku tak dapat mencium bau bunga ros yang tumbuh di sekeliling hatinya kerana gembira. Aku tak sempat melihat senyumnya yang meleret leret sampai ke malam. Aku tak bisa lihat dia takjub menceritakan fungsi setiap butang yang ada di henset Blackberry kepada Ummi. Ilmu yang tak dikuasai akan menjelma di dalam diri manusia menjadi sebuah ketakutan. Itulah sebaliknya yang terjadi kepada Ummi, kalau boleh digambarkan hubungannya dengan teknologi dan alat alat elektronik yang lain.

Abah disapa malaikat maut ketika aku masih sibuk-sibuk menyiapkan tesis di tahun akhir universiti. Aku malah tak sempat melihat wajahnya buat kali terakhir lantaran tiba di kampung asar besoknya sedangkan jenazah sudah disolat, dan dikebumikan selesai solat zohor. Aku menangis. Ya, hanya mampu menangis sambil teresak esak memegang tangan ummi. Sebak yang tak tertahan. Bercucuran tidak dirancang.

Satu-satu memori datang bertenggek. Teringat ketika dikejutkan sahur oleh abah, ditarik tarik ibu jari kaki sampai aku tersedar. Ketika abah bersusah payah meminjam wang untuk menghantar aku masuk matrik di Langkawi. Atau ketika abah menenun kopiah sambil memerhatikan anak anak nya bermain. Malah ketika aku membuat tindakan drastik semacam orang gila untuk keluar dari sekolah asrama tanpa berbincang dengannya, langsung tak dia persoalkan, dia lagi sibuk sibuk kesana kemari naik turun bangunan sekolah untuk daftarkan sekolah baru untukku.

Memori yang datang silih berganti menambahkan lagi rasa pilu dan sebak. Seolah itu semua baru semalam terjadi. Lebih tersedu ketika ummi memujukku, mengusap usap rambutku dengan pebuh naluri keibuan dan meminta ku bersabar, menerima pemergian abah dengan lapang.

Tak mampu ku bendung, beberapa bulan sahaja lagi aku akan tamat pengajian, aku akan cari kerja dan belikan abah henset blackberry.

Tapi dia pergi dulu, pergi tanpa mengucapkan salam. Dan kini aku rindu. Rindu untuk mengirimkan wang setiap bulan kepada abah, supaya abah tahu sekarang ini anaknya sudah bekerja. Rindu mencium bau surya yang sebati dengan dirinya. Malah rindu untuk pekena roti canai gearbox di depan sekolah bersama sama.

Tak apa abah, aku terima semua ini dengan redha. Walaupun tak dapat kuhadiahkan henset canggih itu, sekarang malah kita ada medium yang lebih canggih. Yang bisa menghubungkan orang di alam yang berbeza. Aku masih boleh kirim 'sms' untuk abah.

Doa. Ya, dengan doa.

Tuhan itu lebih maha canggih.

R.I.P

1 contengan:

+HaPaMJoHn+ said...

ENTRI TERKESAN
Buat teringat dengan seorang lelaki yang mula-mula dicintai
Abah/ayah/papa/walid.
Kesannya sungguh merubah jiwa
Melihat dunia dengan lebih indah
(T-T)

Post a Comment