Pages

19 October 2010

Cerek Air Jahat.

Cerek air bergerak gerak, hidup. Malah saiznya adalah besar, sebesar almari. Dari muncungnya keluar asap panas berkepul kepul, manakala penutupnya kadang kadang terloncat loncat menghasilkan bunyi yang aneh. Ia secara perlahan dan misteri menghampiriku siap sedia ingin menelanku. Aku sedikit tertekan lantaran mengalami situasi yang tak pernah dialami ini. Malah lebih menakutkan dari menonton cerita pembunuh yang menggunakan mesin pengisar kayu untuk membunuh mangsanya yang pernah aku tonton ketika darjah 1.

Semacam pakatan, dalam masa yang sama dapat dirasakan suatu tekanan di bebola mata, bergulung gulung, semakin kuat dan besar semakin mencemaskan. Cerek dan tekanan itu berterusan ingin menelanku. Kombinasi nya kukuh dan jitu persis rumah yang dibangun menggunakan golden interlockin brick. Kuat dan kental.

Aku tak ingat hari apa, yang pasti pada masa itu aku masih bersekolah rendah, darjah 3 barangkali. Ketika demam badan kita lemah dan banyak anasir dari alam luar akan menganggu, begitu kata Umi. Dan aku selesa dan rasa selamat tidur di sebelah dia.

Aku masih gagal melelapkan mata kerana setiap kali kupejam, cerek tadi terus mengancamku. Di bucu bilik tidur ia masih bersikap aneh dan ingin menyerang, airnya menggelegak walhal plugnya sudah tercabut sejak semalam. Aku pernah juga berhalusinasi tentang benda lain dan ternyata peristiwa cerek yang tiba tiba berubah menjadi besar dan mengancamku adalah sesuatu yang paling menakutkan pernah kualami. Tak terbayangkan jika aku terus trauma dengan cerek air.

Sementara adikku di sebelah kelihatan sedang berusaha keras melawan kesejukan dengan merengkokkan badan, terpulas tanpa selimut. Dengan badan sekurus kukur kelapa, tanpa sedikit pon lemak tentu sekali dia kalah teruk dalam pertarungan tersebut. Sesekali kepalanya digeleng geleng, seolah olah tidak setuju apabila diajak berdamai. Dia ingin terus bertarung dengan kesejukan. Kelmarin sempat kami bergaduh kerana berebut untuk menyalakan ubat nyamuk.

Bukan, yang lebih dinanti adalah momen menghembuskan nyalaan api tadi supaya ubat nyamuk sekadar membara. Dan dia sangat gembira dapat menghembuskannya menggunakan hidung. Jengkel sekali. Kalau sepupu kami ada,kami lebih seronok tidur bersilang silang. Aku tahu kami sepupu kerana ayah kami dengan ayah sepupuku tadi adalah adik beradik, maksud aku kami berkongsi nenek.

Entah kenapa mimpi seperti itu datang lagi semalam. Dan semalam adalah hari ke-6 aku tidur pakai ear plug kerana rumah yang aku diami terletak bersebelahan generator. Betul betul disebelah. sejurus bangun dari tidur aku terdengar suara berdesing, berdengung dengung di telinga. Tetapi aku kurang pasti apakah bunyi itu datang dari mimpi atau sesudah aku mulai terbangun. Itulah yang sedang aku fikirkan selama mengamati kunci bilik tidur yang teroleng oleng di tiup kipas siling.

1 contengan:

HaPaM JoHn said...

terbayang macam cerita alise wanderland.
satu cerek besar, tapi lubang idungnya lagi besar
hahahaha.
tido tak cuci kaki , heh!

Post a Comment