Pages

01 October 2010

Porken Sudah Kahwen.

Aku menyalami Porken. Jabat tangan yang kemas, ikhlas, sebagai ucapan
tahniah sekaligus tumpang berbangga.

Sambil meliriknya dengan sebuah pandangan, yang kalau ditafsirkan dengan
kata-kata,mungkin kurang lebih begini maksudnya;

"Ketahui olehmu Porken, kerja aku ini lebih sibuk dari Perdana Menteri
Malaysia yang ke-enam. Jadi kamu patut berbangga, dikalangan rakan sekelas
kita yang telah mendirikan rumahtangga, hanya kenduri kamu yang aku
hadiri. Hanya kamu!. Kamu patut tahu itu, betapa pentingnya kamu
melebihi kerjaku."

Kening yang diangkat angkat sebanyak dua kali pula bermaksud ini;

"Jadi usah kau berkira soal hutangku padamu itu, RM300 tidaklah seberapa
dibandingkan pengorbananku ini. Kira halal saja. Di hari berbahagia mu ini
akan lebih besar pahalanya dengan menghalalkan hutangku pada mu itu."

Tetapi Porken membalas dengan lirikan yang tidak bersahabat.
Sombong sekali.

"Ah! tahu apa kau akan urusan kewangan. Kau masih mentah, budak
hingusan, belum kahwen. Lihat saja seluar jeans mu itu, masih koyak
lutut seperti dulu. Dasar tak tahu masuk majlis, budak kampung!"
Tanganku di lepaskannya, penuh geram.

Aku tersentap. Porken ternyata berubah sepenuhnya setelah berkahwen.
Dia tak mudah bertoleransi seperti dulu lagi. Porken telah berubah.
Berubah sama sekali.

Tiba tiba asap memenuhi ruang tamu, makcik makcik, pakcik pakcik, dan
saudara mara pakcik makcik tadi sampai terbatuk batuk, kucing Porken
yang kurus dan kekurangan gizi itu juga terbatuk, semua terbatuk, mengibas
ngibas tangan tak sehaluan. Porken bertukar menjadi pahlawan viking,
lanun yang menguasai perairan Scandinavia, dadanya dibaluti baju besi
berkilat, menyilaukan jika terpantul cahaya, kapak panjang dan gedabak
yang tajamnya nauzubillah, terhunus kemas di tangannya diacukan ke leher
aku. Garang dan gagah.

"Sekali aku lirik kapak ini, putus kepalamu." Begitu maksud renungan bola
matanya. Isterinya yang bertukar menjadi permaisuri, juga tiada belas
kasihan, menempel di sebelah Porken.

"Rasakan kau! Jangan cuba cuba ambil kesempatan terhadap pahlawanku."
Sambil mencubit cubit lengan Porken, melepaskan geram. Nakal sekali.

*********************

Ingat kawan, jangan dibuat main dengan orang yang baru berkahwin,
terutama yang mendirikan mahligai menggunakan tabungan sendiri
dan bukannya pinjaman dari bank Rakyat! Duit adalah isu yang sensitif.
Apatah lagi jika mempelai itu baru saja menamatkan pengajian dan bekerja
tak lebih dari 3 tahun.

Ingat pesanku ini kawan. Catat dalam nota kecilmu!

0 contengan:

Post a Comment