Pages

07 October 2010

Walimatul Urus.

Ustaz Amir seorang yang berkaliber, di bulan yang berakhiran -ber yang keempat pada tahun ini, genap 20 tahun dia memimpin jemaah sekaligus menjadi kepala masjid di kampung. Latar pendidikannya bukan calang, lulusan Universiti Al Azhar bidang syariah. Lulusan Al Azhar kawan, hebat bukan buatan. Unggul tiada tandingan.

Setiap katanya datang dari potongan ayat ayat Al Quran, sentiasa memberi teguran, yang salah diperbetulkan, mana yang baik digalakkan. Prinsip hidup amar maaruf nahi mungkar tertanam utuh dalam dirinya, tak lari jauh. Kehidupannya zuhud, seadanya. Hebat bukan?

Pernah sekali semasa kuliah maghrib, tajuk kuliahnya berkisar tentang
memenuhi jemputan walimatul urus. Satu perkataan, wajib. Hukumnya wajib. Diulang sekali lagi, wajib! Makanya bagi kami (kami adalah aku dan
beberapa orang kawan yang sejahil aku) tunduk patuh, sekaligus
setuju dengan kuliahnya.

Memandang caranya berpakaian, mendengarkan caranya berceramah sudah cukup untuk menggetarkan hati, belum lagi dibacakan isi kuliahnya. Usah banyak, lihat saja betapa besar serbannya, 60% sudah aku setuju apa yang akan diceramahkan. Wajahnya jernih dan bercayaha, bicaranya tenang dan
bersahaja. Menampakkan betapa tinggi ilmu yang dimiliki, sedalam jurang mariana barangkali, serapi ikatan serbannya.

Dia juga bukan seorang perokok, dan darinya aku belajar; orang yang baik dan ingin menasihatkan orang lain mestilah bukan seorang perokok. Kerana perokok mulutnya berbau busuk.

Pertama kali perkenalan aku dengan Ustaz Amir adalah ketika dia menangkap kami mengganggu anak anak gadis yang lalu lalang dengan membaling mercun ketika mereka melintasi jalan menuju ke masjid. Tak ada yang lebih seronok dari mendengar bunyi mercun meletup, diikuti jeritan histeria dan larian lintang pukang anak anak gadis tadi. Terbirit birit, deras cabut lari sambil kain disinsing tinggi.

Ketika azan bertempik di corong corong masjid, bersahutan mengajak umat menuju kemenangan, kami terlebih dulu meraikan kejayaan misi yang tak berapa penting tadi. Pada ketika itu aku mendapat pelajaran baru dari Ustaz Amir; membaling mercun kepada anak anak gadis yang ingin ke masjid adalah satu dosa. Apatah lagi membuat bising ketika azan berkumandang.

Sebelum sempat ceramah kilat tadi ditamatkan, mata Safri terlebih dulu berkaca. Bukan kerana insaf atau terkesan, apatah lagi rasa bersalah, tetapi kerana mengenangkan habuan yang bakal diterimanya nanti atas kejayaan kecil kami tadi. Ustaz Amir adalah kawan rapat ayahnya, dan pula rumah mereka adalah bersebelahan. Paling tidak tali pinggang atas belakang! Beruntung benar jika mood ayahnya dalam keadaan baik, tapi hukumannya tetap menjijikkan; tidur dalam reban ayam.

Sejajar dengan pesannya ketika ceramah dulu, kini bikin kepala aku pusing. Pening memikirkan kenduri mana yang patut aku hadiri, nun jauh di selatan semenanjung atau yang di Kuantan dan tarikh kenduri jatuh ada hari yang sama. Jarak antara keduanya dipisahkan oleh masa, tak sedikit waktu yang diperlukan kalau mahu ke dua-dua kenduri tersebut.

Inilah akibatnya kalau menuntut ilmu setengah jalan, ceramah belum lagi tamat, semua bertebaran ke kedai kopi.

Kesannya terlihat pada aku sekarang.

Oh! kepada siapa lagi semua ini harus dipertanggungjawapkan kalau bukan menteri pendidikan.

Ya, ini semua salah menteri pendidikan.

0 contengan:

Post a Comment