Pages

10 December 2011

Cerita perihal buku cerita.

The modern nomad: Live anywhere, anytime.


Buat kedua kalinya loceng sekolah berdering kuat. Kali pertama loceng berbunyi menandakan waktu belajar sudah bermula. Kali kedua pula bermaksud telah tiba waktu untuk cepat-cepat berlari keluar bilik darjah menuju kantin.

Paling dinantikan semestinya loceng ke empat, iaitu waktunya untuk balik ke rumah. Paling tidak, inilah yang dipelajari dan amat aku fahami selama aku bersekolah. Tiada yang lebih dinantikan selain deringan loceng dan waktu Pendidikan Jasmani (dibaca waktu main bolasepak).

Walaupun suara cikgu yang menjerit, memekik tentang pelajaran berulang-ulang dan mengingatkan supaya menyiapkan tugasan yang diberi itu lebih penting, ternyata bunyi loceng yang nyaring 4 kali sehari lebih senang dimengerti serta mudah difahami.

Setiap kali pelajaran bermula, satu slot 35 minit terasa seperti 2 jam kalau pelajaran itu membosankan dan setiap masa kita berdoa semoga cepat habis. Tetapi terasa seperti hanya 5 minit kalau pelajaran yang diajar itu adalah yang kita gemari. Padahal sudah 1 jam berlalu misalnya.

Hal yang sama terjadi ketika aku membaca novel. Ketika memilih novel untuk dibeli, aku sentiasa ragu untuk membeli novel setebal 500 mukasurat misalnya, kerana memikirkan ketebalannya yang melampau sekaligus mustahil untuk dibaca sampai habis dalam waktu yang terbatas.

Ditambah dengan kesuntukan masa, aku jadi bertambah pesimis. Apabila mula dibaca, hal sebaliknya yang berlaku. Helai demi helai dibelek, bab demi bab diselak, semakin banyak kejadian/konflik tercetus, semakin ingin tahu apa seterusnya yang terjadi. Penasaran.

Sedar tak sedar dah separuh novel habis dibaca. Kemudian setelah menghampiri bab-bab akhir, entah kenapa aku berharap semoga novel yang sedang dibaca ini masih tebal lagi. Semakin ia nipis, semakin aku berdoa semoga ia tak pernah habis. Apabila telah selesai dibaca, aku akan ternanti-nanti novel seterusnya dari penulis tadi.

Bagi novel Selimut Debu, karangan Agustinus Wibowo setidak-tidaknya itu yang aku rasa. Sehingga memaksa aku membeli dan membaca novel kedua beliau iaitu Garis Batas. Novel seperti ini aku kategorikan sebagai novel berbintang 4.9.

Sungguh ‘kesedapan’ membaca itu tadi adalah relatif, sama seperti proses pembelajaran di dalam kelas tadi.

Novel 5 bintang adalah novel yang indah, sarat kisah yang menginspirasikan, dan kita akan tertanya-tanya serta ingin tahu apa yang telah terjadi kepada setiap sesuatu yang telah diceritakan. Kadang-kadang terasa ingin pergi kesana dan melalui sendiri pengalaman yang diceritakan.

Leaving Microsoft To Change The World (edisi Bahasa Malaysia) adalah novel seperti ini. Cerita yang disampaikan, sampai kepada pembaca tidak hanya apa yang hendak disampaikan, terdapat elemen lain atau nilai tambah yang diselit. Jadi jangan pelik kalau novel ini di label sebagai buku perniagaan dan pemasaran di sesetengah perpustakaan/kedai buku.

Jika Selimut Debu dan Garis Batas adalah kisah backpacker yang kemudian menjadi wartawan, Leaving Microsoft To Change The World adalah kisah seorang pengurus pemasaran kaya yang menjadi backpacker seterusnya pekerja sukarela yang mengasas sebuah gagasan Roomtoread.

Dan novel Laskar Pelangi serta karya-karya lain dari Andrea, aku kasi 7 dari 5 bintang. Andrea adalah seorang ahli ekonomi, pemerhati dan peneliti, backpacker, penerima biasiswa kerajaan, orang seni, ahli sastera, pemalu dan banyak lagi. Memang padan aku kasi 7 bintang untuk karya-karya beliau.

Melalui pemerhatian dan penelitian aku sendiri, antara ciri kisah yang indah adalah kisah yang comply syahadah. Sebagaimana kalimat syahadah, yang didahului ayat penafian kemudian baru diikuti oleh penerangan yang menguatkan penafian tadi sekaligus pelengkap yang membentuk sebuah ayat yang sempurna.

27 October 2011

Waja diri.

Tadahan hujan.

Pembaca yang budiman, percayakah Tuan jika saya katakan bahawa manusia di dunia ini tidak akan pernah wujud jika personaliti waja diri tidak ada dalam diri manusia?

Apa!? Tuan tidak percaya?

Baiklah, mari saya kisahkan. Di saat Nabi Adam dan Hawa dihumban ke bumi, apa yang membuat pasangan tersebut terus bertahan di bumi dengan harapan pada suatu hari nanti mereka akan kembali ke syurga?

Apa akan terjadi jika asal muasal manusia itu tidak mempunyai personaliti(waja diri) demikian. Katakan mereka sangat kecewa dan meratapi apa yang telah terjadi, kemudian menamatkan riwayat dan kisah cinta mereka dengan sekali lagi melanggar perintah tuhan (dibaca membunuh diri). Jika itu terjadi, akan wujudkah saya yang berjaya menaip entri ini dan akan lahirkah Tuan yang sedang membaca entri ini?

Malah tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa sifat waja diri itu sebenarnya tertanam utuh dalam diri setiap manusia sedari lahir. Seorang bayi yang baru lahir setelah beberapa bulan akan berusaha keras untuk meniarap. Kemudian apabila semakin besar, dia berusaha pula untuk duduk, merangkak, berdiri, berjalan seterusnya berlari-lari.

Dapatkah Tuan bayangkan jika bayi tadi berputus asa setelah jatuh dalam usahanya untuk berdiri, dia kemudian tidak pernah mencuba lagi. Dapatkah Tuan berdiri seperti mana Tuan berdiri pada hari ini andaikata bayi yang putus asa tadi adalah Tuan?

Jawablah dalam hati semua persoalan saya di atas kerana saya tidak mahu Tuan berceloteh di sini. Saya tidak memerlukan jawapan sebagaimana saya tidak akan menghuraikan dengan lebih lanjut definisi personaliti waja diri.

Cukuplah digambarkan betapa tidak indah kehidupan ini jika sifat waja diri itu tadi tiada dalam diri manusia, tiada dalam diri kita-kita ini.

18 September 2011

5 sebab kenapa anda patut daki Gunung Stong.


1. Air Terjun Jelawang.
Di Gunung Stong terdapat air terjun Jelawang yang merupakan air terjun tertinggi di Asia Tenggara.

Air terjun Jelawang terdiri dari 7 tingkat dan di setiap tingkat terdapat banyak kolam mandi dan tempat menggelungsur. Di salah satu tingkat, berdekatan Kem Baha terdapat kolam yang di panggil kolam Tuan Puteri. Kira-kira setengah jam trekking dari kem ini, kita akan jumpa pula Telaga Tujuh, deretan kolam-kolam kecil yang kesemuanya berjumlah tujuh.

Air terjun dan kolam mandi di sini 100 kali lebih bagus dari Air Terjun Temurun di Gunung Mat Chincang, Langkawi dan 10,000 kali lebih bagus dari Air Terjun Namuang di Koh Samui, Thailand. Ternyata Air Terjun Namuang bukan tandingannya.

2. Karpet awan.

Mahukah kamu melihat sesuatu yang sungguh menenangkan fikiran? Sangat-sangat menyenangkan sehingga ketika menikmatinya seolah terlepas beban 100 kilogram dari bahu.

Fenomena di saat lapisan serat lembut berwarna putih tipis seperti kapas dan berkilat bak sutera yang tersebar luas dan menutupi langit secara melata ini dapat dinikmati ketika Berada di Kem Baha, 1 jam pendakian dari kaki Resort Stong.

Di tambah dengan kehadiran matahari terbit dan udara yang segar, keindahan ini tak dapat dikongsi dengan kata-kata. Tahu kenapa pada satu masa dulu sebelum adanya teknologi kamera seorang penulis menjadi seorang pelukis?

Kerana penulis tadi kehabisan kata-kata untuk menceritakan sesuatu keindahan yang dilihat.

3. Spesis langka dan rare.
Taman Negeri Gunung Stong kaya dengan flora dan fauna, sesetengah tumbuhan yang tumbuh disini hanya pernah dijumpai di gunung ini, dalam erti kata lain tumbuhan tersebut tidak terdapat di tempat lain.

Contohnya Holttumochloa pubescens sejenis pokok buluh dan Licuala stongensis sejenis tumbuhan akasia.

Rafflesia Kerrii bunga terbesar di dunia, Harimau Malaya alias Panthera Tigris Malayensis, Tapir Malaya alias Tapirus indicus.

Di saat mendaki berdoalah semoga anda tidak terserempak dengan Pak Belang alias Harimau Malaya kerana anda bukannya berada di zoo.

Budak semput tidak digalakkan mengikuti ekspedisi semacam ini. Sila pergi main di mall dan tawaf pusat beli-belah kerana tempat-tempat seperti itu menyediakan eskelator serta lif untuk kemudahan anda beriadah. Kekeke..

4. Rangkaian gunung.
Selain Gunung Stong, terdapat banyak lagi gunung lain yang berdekatan iaitu Gunung Ayam, Gunung Tera, Gunung Saji. Kalau ke Gunung Ayam melalui trek sumalian, boleh lihat semua tumbuhan yang rare dan langka tadi depan mata.

5. Lanskap gua/batu.
Duduk dan perhatikan susunan batu, stalaktit serta stalagmit di Gua Bogor. Jika anda seorang arkitek, percayalah bahawa lanskap ini jauh lebih indah dari susunan bangunan pencakar langit yang terdapat di hutan konkrit(dibaca bandar).

Kalau kesana nanti jangan gatal tangan nak conteng kat batu tulis Budak bongok wuz here atau seumpamanya. Kalau buat juga nanti aku conteng dahi kau balik. Perlu diingat; Gunung Stong dijaga oleh orang bunian! Jangan kau sembarangan ya.

Sekiranya belum puas dengan keadaan Gua Bogor yang kecil, silakan jelajah Gua Ikan, Gua Pagar dan Gua Keris yang terletak kira-kira 7 kilometer dari Pekan Dabong.

Selepas baca entri ini, harap hati kau rasa terdetik, tercabar, teruja dan gatal kaki mahu mendaki Gunung Stong, jika harapan aku benar sila hubungi pihak Kem Baha terlebih dahulu sekurang-kurangnya seminggu sebelum pendakian untuk kelancaran melainkan anda pengembara solo yang mengamalkan prinsip roughly plan for go and back only, in the middle let nature decide.

Baiklah, sila nikmati sekelumit gambar yang aku muat naik. Kalau kau rasa gambar tak cukup besar, tekan Ctrl di papan kekunci dalam masa yang sama pusing mouse wheel ke atas untuk magic gambar jadi besar atau klik pada gambar. Kalau masih tak puas hati, silakan hubungi nombor di bawah untuk berekspedisi ke sana.


Air besar, hujan lebat.

Chalet di Kem Baha, RM10 satu malam.

Karpet awan.


Abstrak alam yang bertajuk "Akar".


Batu, pokok dan langit.

Puncak Stong.


Kem Baha (019 9591020), biaya sehari untuk seorang pemandu arah adalah ~RM200 maksimum 12 orang. Maknanya kalau bercadang datang seramai 24 orang kena tempah 2 pemandu arah. Atau boleh hubungi pihak KB-backpackers untuk lihat pakej.

Nota bawah : Itu hari aku daki Stong pakai khidmat pemandu arah yang bernama Pok Gad si penjaga air terjun antara dua gunung (011 1992 7463). Sebut nama aku nanti dapat diskaun 50%, serius aku tak tipu.

13 September 2011

Dedikasi kepada gigi.

Lukisan ini aku dedikasikan kepada gigi bongsu aku yang telah di cabut 2 tahun lepas. Err..
Gigi meraung sakit gigi.

Burung bersiar-siar di petang hari.

Pelangi petang.

Ini gambar monsta pelukis dari Peranchis.



Nota bawah: Seronok juga rupanya melukis pakai Paint.

Baguette

Malam

Internet perlahan

Titisan hujan

Kelaparan

Baguette


Ibis Hotel, Abidjan.

04 September 2011

Tupai Puncak Gunung Stong.

Lukisan ni aku namakan Tikus Tupai Puncak Gunung Stong sempena pendakian aku ke sana kelmarin. Tengok dekat macam tikus. Tapi kalau view besar-besar dan tengok 3-4 langkah ke belakang, ternyata ia seekor tupai. Sekian.

Baru nak lukis. Aku lebih suka yang ni, lebih artistik dan abstrak.


.



01 September 2011

5 seni backpack secara solo.

Backpacker solo.


Tak semua perkara yang dilakukan secara berkumpulan memberi faedah kepada setiap ahlinya. Bagi mereka yang lebih ke arah introvert, bersendiri itu lebih menyenangkan dan menghasilkan energi positif. Backpack seorangan walaupun isu keselamatan paling dirisaukan, tak kurang juga seronoknya berbanding pergi beramai-ramai.

1. Mengenal diri sendiri.
Sama seperti saat kita mengelamun sendirian dalam bilik, yang ada hanya kita dan perasaan. Kita bermonolog, bercakap dengan diri sendiri. Teknik ini jika tak keterlaluan bolehlah dikatakan muhasabah diri sendiri.

Dapatkah anda bayangkan berada di tempat yang betul-betul asing, tanpa saudara, kawan dan taulan di sekitar? Suasana sunyi tanpa gangguan ini memudahkan kita berfikir dan melihat ke dalam diri kita sendiri seterusnya menilai kehidupan yang telah dilalui. Tak sedikit pengembara solo yang mendapat pencerahan dalam segala isu dan masalah yang dihadapi ketika bersendiri.

2. Kuasa autonomi.
Kehidupan rutin harian di pejabat sungguh membosankan. Pergi kerja pukul 8 pagi, berebut naik tren atau menempuh kesesakan lalu lintas jika anda memandu, kemudian menghadap komputer kalau kerja kita memerlukan kita melakukan itu. Atau anda mungkin lebih suka contoh menjawap telefon.

Benda yang sama dilakukan setiap hari, setiap minggu, setiap bulan dan tahun. Semua rutin tadi kadang-kadang bukan atas kemahuan kita sendiri. Bukan kita yang buat keputusan. Tapi itu adalah rutin harian yang dibuat seolah tanpa sedar kerana sudah terbiasa.

Apa yang lebih menyenangkan dari membuat keputusan sendiri tanpa mendapat arahan dari atasan atau memikirkan orang lain? Segala pilihan terletak di tangan kita. Misalnya jika kita rasa nak bergerak pada waktu malam, kita pon beli tiket bas malam tanpa perlu tanya pendapat atau menunggu rakan jika pergi berkumpulan.

Terasa sangat dewasa, bebas dan menguasai diri sendiri bukan? Cubalah. Sedikit sebanyak, backpacker solo sebenarnya sedang berlatih menjadi pemimpin. Memimpin diri sendiri setidak-tidaknya.


3. Berdikari (berdiri atas kaki sendiri).
Backpack berkumpulan saling melengkapi. Misalnya jika kita kehabisan wang boleh pinjam dari kawan. Atau kerana tak tahu tentang sesuatu dan malas nak ambil tahu, kita hanya jadi penumpang kerana semua persiapan tadi kawan sudah siapkan. Tiket sudah dibelikan misalnya.

Jika backpack sendiri, semuanya dirancang sendiri. Segala info dikumpul, dianalisis dan dicerna sendiri. Keputusan yang dibuat sungguh hati-hati kerana memikirkan kesilapan adalah kecelakaan yang terpaksa ditanggung sendiri di kemudian hari. Maknanya solo backpacker selain berdikari, juga merupakan seorang yang berani. Sangat berani.


4. Unik dan kreatif.
Di saat Isaac Newton mengelamun di bawah pokok sebelum dia melihat sebiji epal jatuh lantas tercetusnya idea gravitasi, dia sedang bersendiri. Ketika John Lennon mengarang lirik lagu di tepi sungai Ganges semasa dia backpack ke India, dia berseorangan.
"Introvert adalah minoriti di kalangan masyarakat, tetapi majoriti dari mereka adalah orang-orang yang hebat."

Hiduplah seperti yang kita mahukan, bukan seperti yang orang lain perkatakan. Undang-undang yang tak tertulis tetapi jika dilanggar akan dipandang serong padahal perkara tersebut bukalah suatu kesalahan, banyak mengekang kreativiti dan perkembangan manusia. Hasilnya kita gagal mencerna sesuatu perkara.

Ertinya kita seharusnya sekadar ambil tahu apa persitiwa yang sedang berlaku melalui suratkhabar dan televisyen. Bukannya percaya bulat-bulat apa yang ditulis kenapa peristiwa itu berlaku. Semestinya seorang pejuang bangsa yang menuntut kemerdekaan sesebuah negara dianggap hero oleh rakyatnya. Tetapi mereka adalah pemberontak dari kaca mata penjajah.

Memandangkan negara kita merdeka hanya melalui budi bincang UMNO dengan penjajah, mereka yang berjuang sama menuntut kemerdekaan tetapi melalui pertubuhan lain digambarkan sebagai penjahat. Jahatkah mereka sehingga digambarkan sebegitu rupa?


5. Cari kawan, kenal lawan.
Backpack seorang diri selain dapat mencari kawan, juga untuk kenal jenis orang yang akan ambil kesempatan terhadap kita. Maka kita akan sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga dan defensif. Jika kita datang beramai-ramai, semestinya kita tak cari kawan lain. Payah.

Hanya keadaan sahaja yang berubah. Jika semalam kita makan roti canai di kedai mamak dengan kawan-kawan sambil sembang bola. Hari ini kita makan bakso (jika kita backpack ke Indonesia) dengan kawan-kawan yang sama juga cerita pasal bola. Yang berubah hanya makanan yang di makan dan keadaan sekitar. Itupon kalau kita perasan dan perhati.

6. Bebas.
Melakukan apa yang ingin kita lakukan, bukannya terikut-ikut dengan apa yang ingin mereka (kawan-kawan) lakukan.

Seseorang yang boleh hidup beramai-ramai belum tentu boleh hidup sendiri, tetapi seseorang yang boleh hidup sendiri dijamin tiada masalah hidup beramai-ramai. Kerana introvert adalah seorang pemerhati dan pemikir bukannya anti sosial yang susah untuk bercakap.

“Most inventors and engineers I’ve met are like me. They’re shy and they live in their heads. The very best of them are artists. And artists work best alone…” Steve Wozniak


31 August 2011

Menulis Novel


Dalam rangka menyiapkan novel kurang lebih 35 bab dengan setiap bab 1300 patah kata.  Ternyata proses menulis novel lebih kurang sama dengan kerja-kerja menghasilkan tesis. Setiap bab memerlukan rujukan buku tak kurang dari lima, dan cuti raya kali ini aku akan manfaatkan dengan menyudahkan beberapa bab lagi sambil membaca beberapa buah novel bagi mencari ilham.

Novel itu nanti kalau sudah siap, dibeli dan dibaca oleh kawan-kawan sepasukan yang bermain hoki, mereka berkata begini kurang lebih:

"Ternyata tangan kau tak hanya pandai pegang kayu hoki, rupanya kau juga hebat menulis."

"Sungguh sebuah novel yang menginspirasikan, saya akan cuba usulkan supaya novel ini dimasukkan dalam silibus kesusasteraan Bahasa Melayu." Menteri pendidikan.

Komentar dari backpacker pula begini:

"Membaca buku ini membuatkan saya ingin pergi ke tempat-tempat yang diceritakan. Ketika membacanya terasa seperti seseorang sedang menceritakan kisah ini kepada saya di sebelah sambil minum kopi.Sungguh asyik."

"Sebagai pengguna kereta api, saya bersyukur dan mulai menghargai kereta api sebagai sebuah kehidupan. Mulai saat ini saya tidak akan banyak komplen lagi." Kata En. Fadli pengguna komuter.

"Bukan sekadar novel, ini adalah kejuruteraan sastera. Kalau ingin tahu seperti apa itu kejuruteraan sastera, bacalah buku ini." Ir.Jamadillah Mohd Tahar.

"Selesai membacanya terasa seperti ingin memeluk penulis buku ini." Kata Neelofa si dewi remaja.


Dan harap aku tak terinspirasi dengan carapandang Latiff Mohidin yang terkenal dengan sajak sekerat,puisi tak siap itu tergolong sebagai sebuah karya yang boleh dijual.

  

28 August 2011

Demokrasi.



Diam tidaklah bermaksud setuju, bukan pula bermakna kita ini senang diperkotak-katik.

Tidak sama sekali. Memilih begitu dengan harapan suatu hari dia faham kita lebih senang untuk tidak dihubungi lagi.

Bukan isu siapa patut setuju dengan siapa, atau mana satu yang lebih betul.

Bukan masa untuk berdebat, menjalani dan menikmati hidup tentunya lebih baik,setidak-tidaknya itu yang aku fikir.

Kedengarannya sungguh demokrasi bukan?

Dalam berfikir keras menemukan jawapan, maka aku lebih memilih untuk diam.

dan harap dia faham.

Nota bawah: Terima kasih Jhon untuk kad raya yang cantik. kehkeh. Selamat hari raya semua.

27 August 2011

Sahur.

Kipas ligat berpusing di siling
Lagu mp3 kumandang berulang-ulang
Petak mozek kilau disuluh kalimantang
Titis hujan menyembah jalan
Orang tidur di kerusi ruang depan

Jalanraya tak pernah sunyi kereta lalu-lalang
Baju siap basuh bergantungan di ampaian
Air tangki mencurah-curah berdesakan
Cicak merangkak di dinding cari makan
Jarum besar di nombor tiga, kecil di sembilan

Hujan hujan hujan hujan dan hujan
Makan makan makan makan dan makan

19 August 2011

Pengembara.

Seni jalanan.


Penulis yang hebat dapat menggambarkan sesuatu melalui susunan kata.

Pelukis yang hebat pula menghasilkan karya yang terlihat nyata.

Dan yang paling hebat adalah pengembara.

Pengalamannya tidak dapat diterjemah menjadi kata-kata.

Tiada lukisan menyamai perjalannya.


Nota bawah : Orang yang kerjanya selalu keluar kawasan adalah pengembara.

15 August 2011

Seni mengembara menggunakan kereta api.

Hitchhike


1. Pemandangan.
Menaiki kereta api sebagai pilihan ketika mengembara/bercuti memungkinkan kita melihat pemandangan yang pelbagai di sepanjang perjalanan. Dari sawah padi, sungai, bukit-bukau, kebun sawit sampailah ke hutan belantara semuanya dapat dilihat di sepanjang perjalanan. Berbanding kereta, jika anda yang memandu semestinya tumpuan hanya pada pemanduan.

2. Tidak perlu menyewa hotel.
Perjalanan menggunakan kereta api jika dirancang dengan betul dapat meminumkan kos penginapan hotel. Jika anda dari Kuala Lumpur dan berkira-kira untuk ke Woodlands di Singapura, pilihlah tren yang bertolak pada malam hari supaya boleh tiba di destinasi saat hari sudah subuh.Untuk tidur yang lebih nyenyak dan mimpi indah, boleh beli tiket tempat tidur.

3. Luas dan terdapat kantin.
Ruang kereta api sangat luas dan selesa. Tidak timbul istilah krem/kebas kaki kerana anda boleh bangun berjalan-jalan di sepanjang gerabak dari depan hingga ke hujung. Jika lapar, terdapat kantin boleh pekena kopi atau megi, nasi goreng juga ada. Walaupun makanan yang dijual sedikit mahal, tetapi ia sedap.

Sebenarnya tiada istilah makanan tak sedap, yang ada hanyalah keadaan kita ketika kita makan, apakah kita sedang sangat lapar atau sedang kenyang. Hanya itu yang mempengaruhi betapa kita menghargai sesuatu makanan itu sedap atau tidak.

4. Kurang popular, lebih peluang.
Berbanding kapal terbang, kereta api memang kurang popular maka tiket sentiasa ada dan boleh ditempah seawal 2 bulan atau sehari sebelum tarikh perjalanan.

Kita tak perlu berebut untuk membeli tiket dan boleh mendapatkannya di saat akhir berbanding jika menggunakan kapal terbang yang tiketnya sudah boleh dibeli seawal setahun sebelum tarikh penerbangan jika mahu murah atau terpaksa bayar 3 kali ganda lebih mahal jika dibeli saat-saat akhir (itupun kalau masih ada tiket).

Kereta api juga akan menambah gerabak jika permintaan dari penumpang adalah tinggi pada sesuatu masa seperti di musim-musim perayaan.


Baca buku.

5. Masa perjalanan Lebih Lama.
Secara relatifnya, kereta api bergerak lebih perlahan berbanding kereta atau bas apatah lagi pesawat. Ini sebenarnya adalah kelebihan. Kenapa? Kerana jika anda seorang yang suka membaca novel, masa ini sangat sesuai di isi ketika dalam perjalanan.

Membaca di dalam kereta api juga tidak memeningkan kepala berbanding membaca di dalam kereta atau bas. Lampu dalam gerabak sentiasa dihidupkan, maka setiap masa kita boleh beraktiviti/ menyiapkan kertas kerja atau mengelamun sambil menikmati pemandangan.

6. Kurang Kecelakaan.
Kebarangkalian kereta api kecelakaan adalah jauh lebih rendah berbanding bas atau kereta atau pesawat. Kereta api juga kuat dan teguh jadi tiada masalah jika ia melanggar lembu yang melintas rel.

Kalau kereta yang langgar lembu, kebarangkalian lembu dan pemandu kereta terkorban adalah sama tinggi.


Nota bawah: Kereta api adalah kehidupan.

09 August 2011

Makhluk aneh.

Dah malas nak menulis.
Nah! Tengok lukisan lagi senang dan jelas dapat gambaran dari membaca.

Hai, Selamat datang!


Pari-pari pink.


Pandai.


Ninjahat pencuri.


Katak gigi tajam.


Ular senduk berkaki ayam.


Makhluk paling ganas.



Nota bawah : Makhluk yang paling atas tu rasanya dah empat kali jumpa dalam mimpi (Mimpi 2 tahun lepas.) . Dia suka lolipop.

13 June 2011

Tak Kena.


"Tak sedap hati. Ada sesuatu yang tak kena!" Katanya tanpa basa basi. Sebagaimana dia datang, begitulah dia pergi, tergopoh gapah dan kelam kabut. Dari raut wajahnya kelihatan jelas dia sedang bertarung dengan kegelisahan.

Besok pagi, aku terserempak dengannya lagi.

"Nombor yang aku beli semalam tak kena, terpesong 2 angka."

04 June 2011

Serotonin.


Pagi itu sangat sejuk kerana malam tadi hujan turun dengan lebat. Sepatutnya sekolah mengumumkan hari ini cuti, tetapi kerana aku bukan guru besar maka sekolah berlansung seperti biasa. Dek terlalu lena tidur, bangunku tak dikejutkan oleh kokokan ayam seperti pagi-pagi sebelumnya, tetapi oleh bebelan Umi. Untung jumlah adik beradik ku tak sedikit, waktu menunggu giliran untuk menjirus badan masih boleh digunakan untuk menyambung mimpi yang terganggu tadi.

Tidur di waktu subuh adalah tidur yang paling nikmat, malah lebih asyik berbanding tidur di waktu tengah hari. Setidak tidaknya sehingga ke hari ini teori ini masih terpakai walaupun belum dibukukan oleh mana mana professor. Kajian tentang tidur di waktu subuh serta bagaimana hormon serotonin serta pengaruh setan mempegaruhi mimpi. Lantaran hebatnya tidur di waktu subuh tadi, sehingga ada hadis yang membicarakan akan perkara ini. Aku pasti,dalam jurnal Elsevier juga belum ada perihal kajian ini.Pasti sekali.

Berbalik cerita tadi,bunyi air paip jatuh menyembah bumi sungguh mendamaikan. Sebagaimana air terjun yang deras menderu, begitulah bisik hatiku supaya terus berselimut. Lagu Cermin Mimpi dendangan M.Nasir terus berkumandang di telivisyen, lagu tema Aziz Desa di rancangan Malaysia Hari Ini menjadi dodoian yang begitu mengasyikkan.

Namun, sesuai dengan pesanan cikgu yang sering mengingatkan bahawa sekolah adalah penting, maka aku gagahkan juga untuk bangun mandi, bersiap-siap dan ke sekolah. Sumayyah(kucing) menguap dan mengeliat di tepi katil, sama sekali tidak menghiraukanku. Satu persatu aku lakukan dari memakai seragam, sarungkan stokin dan mengikat tali kasut. Dengan lafaz bismillah aku melangkah kaki ke sekolah setelah mengucup tangan Umi.

Perjalanan ku ditemani decikan burung yang angkuh menguasai awan, bebas berterbangan. Sesekali terasa ngilu tatkala angin pagi yang menghembus menyapa lembut cuping telinga yang masih basah tak berlap sempurna selesai mandi tadi. Kalau disyurga sekarang tak ada malaikat, pasti semuanya ada disini, pada hari ini, di pagi ini, pada saat ini. Bersama sama dengan ku menikmati suasana pagi menuju ke sekolah.

Lopak-lopak air di jalan yang membentuk halangan semuanya ku elak dengan cekap dan cermat, tenang serta bersahaja.

Kedamaian cuma sedikit terganggu dengan pekikan peraih sayur dan etok yang berjualan di di stesen kereta api. Kereta api yang kelihatan gagah perkasa,tegap, sombong dan ego tetapi sedikit kotor itu meraung-raung sambil melepaskan asap hitam menandakan akan terus berangkat sekaligus memberi amaran kepada lembu terutama tuannya supaya tidak menghalangi landasan.

Seringkali lembu yang tak berdosa menjadi korban keangkuhan keretapi. Dan seringkali juga lembu yang tak bertambat, tiada tanda ini tiba-tiba bertuan di saat raya korban. Kerana di hari hari biasa tuannya lebih sibuk pekena kopi di warung.

Kereta api yang kukenal 20 tahun lalu tak banyak berubah dengan yang ada pada hari ini. Tetaplah gagah perkasa dan ego,cuma mungkin telah dimodenkan maka lebih kelihatan bersih dan enak dipandang. Tetapi masih dengan tabiat lama iaitu selalu terlewat,malah kadang kadang mungkir janji dan adakalanya mogok. Tanpa belas kasihan, tak mengira penumpang. Kalau para Ustaz kekeringan idea menerangkan ciri-ciri orang munafiq:tidak menepati janji. Keretapi adalah contoh yang paling tepat.

Sehingga jika aku diminta senaraikan 10 benda yang takkan berubah walaupun hari hampir kiamat, KTM semestinya menduduki tempat pertama dalam senarai. Tak usah melihat jauh ke bahagian pentadbiran, lihat saja pada namanya: walaupun setelah negara merdeka menghampiri usia pencen, KTM tetaplah dengan nama Tanah Melayu, bukan Malaysia. Maka KTM sangat sesuai dijadikan industrial archeology bergerak dan masih beroperasi serta penuh nilai nilai estetika.

Saban tahun KTM rugi, tahun lepas tanah di daerah Tanjong Pagar telah bertukar hak milik,dijual kepada Singapura. Namun KTM tetaplah KTM. Rugi abadi. Keretapi nya mogok tak kira hari.

Pekikan garang keretapi merosakkan melodi yang tadi setenang lagu Caravansary(Kitaro) kini bertukar menjadi lintang pukang seolah gitar belum ditune tali. Malaikat-malaikat yang tadi bersama ku juga telah pulang ke syurga beransur ansur bersama kereta api tadi. Kembali tunduk patuh perintah tuhan.

Sesampai di bilik darjah, kerusi masih banyak yang belum diturunkan dari meja, ketua darjah pon belum datang. Apatah lagi Kamarudin yang tinggal di Gua Ikan 50 kilometer dari sekolah, atau Azuha yang berperahu 45 minit perjalanan mengharungi sungai Galas. Semuanya akan bertemu di satu titik yang sama; bilik darjah. Segala hal ini buat aku mengerti bahawa menuntut ilmu memerlukan pengorbanan yang tak sedikit.

Tetapi, bangun dari tidur dan terjaga dari mimpi untuk sedar yang diri sebenarnya masih di atas tilam berselimut adalah suatu yang paling sukar diterima. Tidak mungkin masih di katil padahal tadi aku dah sampai bilik darjah.

Oh mimpi pagi. Jadi aku dah terlambat dan harus ulangi dari awal semula.

Sumayyah masih di tepi katil, memandang ku dengan penuh tanda tanya lalu menggeleng-gelengkan kepala.

Baiklah,nanti kalau berkesempatan akan ku ceritakan tentang kucing ku yang bernama Sumayyah.