Pages

13 June 2011

Tak Kena.


"Tak sedap hati. Ada sesuatu yang tak kena!" Katanya tanpa basa basi. Sebagaimana dia datang, begitulah dia pergi, tergopoh gapah dan kelam kabut. Dari raut wajahnya kelihatan jelas dia sedang bertarung dengan kegelisahan.

Besok pagi, aku terserempak dengannya lagi.

"Nombor yang aku beli semalam tak kena, terpesong 2 angka."

04 June 2011

Serotonin.


Pagi itu sangat sejuk kerana malam tadi hujan turun dengan lebat. Sepatutnya sekolah mengumumkan hari ini cuti, tetapi kerana aku bukan guru besar maka sekolah berlansung seperti biasa. Dek terlalu lena tidur, bangunku tak dikejutkan oleh kokokan ayam seperti pagi-pagi sebelumnya, tetapi oleh bebelan Umi. Untung jumlah adik beradik ku tak sedikit, waktu menunggu giliran untuk menjirus badan masih boleh digunakan untuk menyambung mimpi yang terganggu tadi.

Tidur di waktu subuh adalah tidur yang paling nikmat, malah lebih asyik berbanding tidur di waktu tengah hari. Setidak tidaknya sehingga ke hari ini teori ini masih terpakai walaupun belum dibukukan oleh mana mana professor. Kajian tentang tidur di waktu subuh serta bagaimana hormon serotonin serta pengaruh setan mempegaruhi mimpi. Lantaran hebatnya tidur di waktu subuh tadi, sehingga ada hadis yang membicarakan akan perkara ini. Aku pasti,dalam jurnal Elsevier juga belum ada perihal kajian ini.Pasti sekali.

Berbalik cerita tadi,bunyi air paip jatuh menyembah bumi sungguh mendamaikan. Sebagaimana air terjun yang deras menderu, begitulah bisik hatiku supaya terus berselimut. Lagu Cermin Mimpi dendangan M.Nasir terus berkumandang di telivisyen, lagu tema Aziz Desa di rancangan Malaysia Hari Ini menjadi dodoian yang begitu mengasyikkan.

Namun, sesuai dengan pesanan cikgu yang sering mengingatkan bahawa sekolah adalah penting, maka aku gagahkan juga untuk bangun mandi, bersiap-siap dan ke sekolah. Sumayyah(kucing) menguap dan mengeliat di tepi katil, sama sekali tidak menghiraukanku. Satu persatu aku lakukan dari memakai seragam, sarungkan stokin dan mengikat tali kasut. Dengan lafaz bismillah aku melangkah kaki ke sekolah setelah mengucup tangan Umi.

Perjalanan ku ditemani decikan burung yang angkuh menguasai awan, bebas berterbangan. Sesekali terasa ngilu tatkala angin pagi yang menghembus menyapa lembut cuping telinga yang masih basah tak berlap sempurna selesai mandi tadi. Kalau disyurga sekarang tak ada malaikat, pasti semuanya ada disini, pada hari ini, di pagi ini, pada saat ini. Bersama sama dengan ku menikmati suasana pagi menuju ke sekolah.

Lopak-lopak air di jalan yang membentuk halangan semuanya ku elak dengan cekap dan cermat, tenang serta bersahaja.

Kedamaian cuma sedikit terganggu dengan pekikan peraih sayur dan etok yang berjualan di di stesen kereta api. Kereta api yang kelihatan gagah perkasa,tegap, sombong dan ego tetapi sedikit kotor itu meraung-raung sambil melepaskan asap hitam menandakan akan terus berangkat sekaligus memberi amaran kepada lembu terutama tuannya supaya tidak menghalangi landasan.

Seringkali lembu yang tak berdosa menjadi korban keangkuhan keretapi. Dan seringkali juga lembu yang tak bertambat, tiada tanda ini tiba-tiba bertuan di saat raya korban. Kerana di hari hari biasa tuannya lebih sibuk pekena kopi di warung.

Kereta api yang kukenal 20 tahun lalu tak banyak berubah dengan yang ada pada hari ini. Tetaplah gagah perkasa dan ego,cuma mungkin telah dimodenkan maka lebih kelihatan bersih dan enak dipandang. Tetapi masih dengan tabiat lama iaitu selalu terlewat,malah kadang kadang mungkir janji dan adakalanya mogok. Tanpa belas kasihan, tak mengira penumpang. Kalau para Ustaz kekeringan idea menerangkan ciri-ciri orang munafiq:tidak menepati janji. Keretapi adalah contoh yang paling tepat.

Sehingga jika aku diminta senaraikan 10 benda yang takkan berubah walaupun hari hampir kiamat, KTM semestinya menduduki tempat pertama dalam senarai. Tak usah melihat jauh ke bahagian pentadbiran, lihat saja pada namanya: walaupun setelah negara merdeka menghampiri usia pencen, KTM tetaplah dengan nama Tanah Melayu, bukan Malaysia. Maka KTM sangat sesuai dijadikan industrial archeology bergerak dan masih beroperasi serta penuh nilai nilai estetika.

Saban tahun KTM rugi, tahun lepas tanah di daerah Tanjong Pagar telah bertukar hak milik,dijual kepada Singapura. Namun KTM tetaplah KTM. Rugi abadi. Keretapi nya mogok tak kira hari.

Pekikan garang keretapi merosakkan melodi yang tadi setenang lagu Caravansary(Kitaro) kini bertukar menjadi lintang pukang seolah gitar belum ditune tali. Malaikat-malaikat yang tadi bersama ku juga telah pulang ke syurga beransur ansur bersama kereta api tadi. Kembali tunduk patuh perintah tuhan.

Sesampai di bilik darjah, kerusi masih banyak yang belum diturunkan dari meja, ketua darjah pon belum datang. Apatah lagi Kamarudin yang tinggal di Gua Ikan 50 kilometer dari sekolah, atau Azuha yang berperahu 45 minit perjalanan mengharungi sungai Galas. Semuanya akan bertemu di satu titik yang sama; bilik darjah. Segala hal ini buat aku mengerti bahawa menuntut ilmu memerlukan pengorbanan yang tak sedikit.

Tetapi, bangun dari tidur dan terjaga dari mimpi untuk sedar yang diri sebenarnya masih di atas tilam berselimut adalah suatu yang paling sukar diterima. Tidak mungkin masih di katil padahal tadi aku dah sampai bilik darjah.

Oh mimpi pagi. Jadi aku dah terlambat dan harus ulangi dari awal semula.

Sumayyah masih di tepi katil, memandang ku dengan penuh tanda tanya lalu menggeleng-gelengkan kepala.

Baiklah,nanti kalau berkesempatan akan ku ceritakan tentang kucing ku yang bernama Sumayyah.