Pages

31 August 2011

Menulis Novel


Dalam rangka menyiapkan novel kurang lebih 35 bab dengan setiap bab 1300 patah kata.  Ternyata proses menulis novel lebih kurang sama dengan kerja-kerja menghasilkan tesis. Setiap bab memerlukan rujukan buku tak kurang dari lima, dan cuti raya kali ini aku akan manfaatkan dengan menyudahkan beberapa bab lagi sambil membaca beberapa buah novel bagi mencari ilham.

Novel itu nanti kalau sudah siap, dibeli dan dibaca oleh kawan-kawan sepasukan yang bermain hoki, mereka berkata begini kurang lebih:

"Ternyata tangan kau tak hanya pandai pegang kayu hoki, rupanya kau juga hebat menulis."

"Sungguh sebuah novel yang menginspirasikan, saya akan cuba usulkan supaya novel ini dimasukkan dalam silibus kesusasteraan Bahasa Melayu." Menteri pendidikan.

Komentar dari backpacker pula begini:

"Membaca buku ini membuatkan saya ingin pergi ke tempat-tempat yang diceritakan. Ketika membacanya terasa seperti seseorang sedang menceritakan kisah ini kepada saya di sebelah sambil minum kopi.Sungguh asyik."

"Sebagai pengguna kereta api, saya bersyukur dan mulai menghargai kereta api sebagai sebuah kehidupan. Mulai saat ini saya tidak akan banyak komplen lagi." Kata En. Fadli pengguna komuter.

"Bukan sekadar novel, ini adalah kejuruteraan sastera. Kalau ingin tahu seperti apa itu kejuruteraan sastera, bacalah buku ini." Ir.Jamadillah Mohd Tahar.

"Selesai membacanya terasa seperti ingin memeluk penulis buku ini." Kata Neelofa si dewi remaja.


Dan harap aku tak terinspirasi dengan carapandang Latiff Mohidin yang terkenal dengan sajak sekerat,puisi tak siap itu tergolong sebagai sebuah karya yang boleh dijual.

  

28 August 2011

Demokrasi.



Diam tidaklah bermaksud setuju, bukan pula bermakna kita ini senang diperkotak-katik.

Tidak sama sekali. Memilih begitu dengan harapan suatu hari dia faham kita lebih senang untuk tidak dihubungi lagi.

Bukan isu siapa patut setuju dengan siapa, atau mana satu yang lebih betul.

Bukan masa untuk berdebat, menjalani dan menikmati hidup tentunya lebih baik,setidak-tidaknya itu yang aku fikir.

Kedengarannya sungguh demokrasi bukan?

Dalam berfikir keras menemukan jawapan, maka aku lebih memilih untuk diam.

dan harap dia faham.

Nota bawah: Terima kasih Jhon untuk kad raya yang cantik. kehkeh. Selamat hari raya semua.

27 August 2011

Sahur.

Kipas ligat berpusing di siling
Lagu mp3 kumandang berulang-ulang
Petak mozek kilau disuluh kalimantang
Titis hujan menyembah jalan
Orang tidur di kerusi ruang depan

Jalanraya tak pernah sunyi kereta lalu-lalang
Baju siap basuh bergantungan di ampaian
Air tangki mencurah-curah berdesakan
Cicak merangkak di dinding cari makan
Jarum besar di nombor tiga, kecil di sembilan

Hujan hujan hujan hujan dan hujan
Makan makan makan makan dan makan

19 August 2011

Pengembara.

Seni jalanan.


Penulis yang hebat dapat menggambarkan sesuatu melalui susunan kata.

Pelukis yang hebat pula menghasilkan karya yang terlihat nyata.

Dan yang paling hebat adalah pengembara.

Pengalamannya tidak dapat diterjemah menjadi kata-kata.

Tiada lukisan menyamai perjalannya.


Nota bawah : Orang yang kerjanya selalu keluar kawasan adalah pengembara.

15 August 2011

Seni mengembara menggunakan kereta api.

Hitchhike


1. Pemandangan.
Menaiki kereta api sebagai pilihan ketika mengembara/bercuti memungkinkan kita melihat pemandangan yang pelbagai di sepanjang perjalanan. Dari sawah padi, sungai, bukit-bukau, kebun sawit sampailah ke hutan belantara semuanya dapat dilihat di sepanjang perjalanan. Berbanding kereta, jika anda yang memandu semestinya tumpuan hanya pada pemanduan.

2. Tidak perlu menyewa hotel.
Perjalanan menggunakan kereta api jika dirancang dengan betul dapat meminumkan kos penginapan hotel. Jika anda dari Kuala Lumpur dan berkira-kira untuk ke Woodlands di Singapura, pilihlah tren yang bertolak pada malam hari supaya boleh tiba di destinasi saat hari sudah subuh.Untuk tidur yang lebih nyenyak dan mimpi indah, boleh beli tiket tempat tidur.

3. Luas dan terdapat kantin.
Ruang kereta api sangat luas dan selesa. Tidak timbul istilah krem/kebas kaki kerana anda boleh bangun berjalan-jalan di sepanjang gerabak dari depan hingga ke hujung. Jika lapar, terdapat kantin boleh pekena kopi atau megi, nasi goreng juga ada. Walaupun makanan yang dijual sedikit mahal, tetapi ia sedap.

Sebenarnya tiada istilah makanan tak sedap, yang ada hanyalah keadaan kita ketika kita makan, apakah kita sedang sangat lapar atau sedang kenyang. Hanya itu yang mempengaruhi betapa kita menghargai sesuatu makanan itu sedap atau tidak.

4. Kurang popular, lebih peluang.
Berbanding kapal terbang, kereta api memang kurang popular maka tiket sentiasa ada dan boleh ditempah seawal 2 bulan atau sehari sebelum tarikh perjalanan.

Kita tak perlu berebut untuk membeli tiket dan boleh mendapatkannya di saat akhir berbanding jika menggunakan kapal terbang yang tiketnya sudah boleh dibeli seawal setahun sebelum tarikh penerbangan jika mahu murah atau terpaksa bayar 3 kali ganda lebih mahal jika dibeli saat-saat akhir (itupun kalau masih ada tiket).

Kereta api juga akan menambah gerabak jika permintaan dari penumpang adalah tinggi pada sesuatu masa seperti di musim-musim perayaan.


Baca buku.

5. Masa perjalanan Lebih Lama.
Secara relatifnya, kereta api bergerak lebih perlahan berbanding kereta atau bas apatah lagi pesawat. Ini sebenarnya adalah kelebihan. Kenapa? Kerana jika anda seorang yang suka membaca novel, masa ini sangat sesuai di isi ketika dalam perjalanan.

Membaca di dalam kereta api juga tidak memeningkan kepala berbanding membaca di dalam kereta atau bas. Lampu dalam gerabak sentiasa dihidupkan, maka setiap masa kita boleh beraktiviti/ menyiapkan kertas kerja atau mengelamun sambil menikmati pemandangan.

6. Kurang Kecelakaan.
Kebarangkalian kereta api kecelakaan adalah jauh lebih rendah berbanding bas atau kereta atau pesawat. Kereta api juga kuat dan teguh jadi tiada masalah jika ia melanggar lembu yang melintas rel.

Kalau kereta yang langgar lembu, kebarangkalian lembu dan pemandu kereta terkorban adalah sama tinggi.


Nota bawah: Kereta api adalah kehidupan.

09 August 2011

Makhluk aneh.

Dah malas nak menulis.
Nah! Tengok lukisan lagi senang dan jelas dapat gambaran dari membaca.

Hai, Selamat datang!


Pari-pari pink.


Pandai.


Ninjahat pencuri.


Katak gigi tajam.


Ular senduk berkaki ayam.


Makhluk paling ganas.



Nota bawah : Makhluk yang paling atas tu rasanya dah empat kali jumpa dalam mimpi (Mimpi 2 tahun lepas.) . Dia suka lolipop.