Pages

10 December 2011

Cerita perihal buku cerita.

The modern nomad: Live anywhere, anytime.


Buat kedua kalinya loceng sekolah berdering kuat. Kali pertama loceng berbunyi menandakan waktu belajar sudah bermula. Kali kedua pula bermaksud telah tiba waktu untuk cepat-cepat berlari keluar bilik darjah menuju kantin.

Paling dinantikan semestinya loceng ke empat, iaitu waktunya untuk balik ke rumah. Paling tidak, inilah yang dipelajari dan amat aku fahami selama aku bersekolah. Tiada yang lebih dinantikan selain deringan loceng dan waktu Pendidikan Jasmani (dibaca waktu main bolasepak).

Walaupun suara cikgu yang menjerit, memekik tentang pelajaran berulang-ulang dan mengingatkan supaya menyiapkan tugasan yang diberi itu lebih penting, ternyata bunyi loceng yang nyaring 4 kali sehari lebih senang dimengerti serta mudah difahami.

Setiap kali pelajaran bermula, satu slot 35 minit terasa seperti 2 jam kalau pelajaran itu membosankan dan setiap masa kita berdoa semoga cepat habis. Tetapi terasa seperti hanya 5 minit kalau pelajaran yang diajar itu adalah yang kita gemari. Padahal sudah 1 jam berlalu misalnya.

Hal yang sama terjadi ketika aku membaca novel. Ketika memilih novel untuk dibeli, aku sentiasa ragu untuk membeli novel setebal 500 mukasurat misalnya, kerana memikirkan ketebalannya yang melampau sekaligus mustahil untuk dibaca sampai habis dalam waktu yang terbatas.

Ditambah dengan kesuntukan masa, aku jadi bertambah pesimis. Apabila mula dibaca, hal sebaliknya yang berlaku. Helai demi helai dibelek, bab demi bab diselak, semakin banyak kejadian/konflik tercetus, semakin ingin tahu apa seterusnya yang terjadi. Penasaran.

Sedar tak sedar dah separuh novel habis dibaca. Kemudian setelah menghampiri bab-bab akhir, entah kenapa aku berharap semoga novel yang sedang dibaca ini masih tebal lagi. Semakin ia nipis, semakin aku berdoa semoga ia tak pernah habis. Apabila telah selesai dibaca, aku akan ternanti-nanti novel seterusnya dari penulis tadi.

Bagi novel Selimut Debu, karangan Agustinus Wibowo setidak-tidaknya itu yang aku rasa. Sehingga memaksa aku membeli dan membaca novel kedua beliau iaitu Garis Batas. Novel seperti ini aku kategorikan sebagai novel berbintang 4.9.

Sungguh ‘kesedapan’ membaca itu tadi adalah relatif, sama seperti proses pembelajaran di dalam kelas tadi.

Novel 5 bintang adalah novel yang indah, sarat kisah yang menginspirasikan, dan kita akan tertanya-tanya serta ingin tahu apa yang telah terjadi kepada setiap sesuatu yang telah diceritakan. Kadang-kadang terasa ingin pergi kesana dan melalui sendiri pengalaman yang diceritakan.

Leaving Microsoft To Change The World (edisi Bahasa Malaysia) adalah novel seperti ini. Cerita yang disampaikan, sampai kepada pembaca tidak hanya apa yang hendak disampaikan, terdapat elemen lain atau nilai tambah yang diselit. Jadi jangan pelik kalau novel ini di label sebagai buku perniagaan dan pemasaran di sesetengah perpustakaan/kedai buku.

Jika Selimut Debu dan Garis Batas adalah kisah backpacker yang kemudian menjadi wartawan, Leaving Microsoft To Change The World adalah kisah seorang pengurus pemasaran kaya yang menjadi backpacker seterusnya pekerja sukarela yang mengasas sebuah gagasan Roomtoread.

Dan novel Laskar Pelangi serta karya-karya lain dari Andrea, aku kasi 7 dari 5 bintang. Andrea adalah seorang ahli ekonomi, pemerhati dan peneliti, backpacker, penerima biasiswa kerajaan, orang seni, ahli sastera, pemalu dan banyak lagi. Memang padan aku kasi 7 bintang untuk karya-karya beliau.

Melalui pemerhatian dan penelitian aku sendiri, antara ciri kisah yang indah adalah kisah yang comply syahadah. Sebagaimana kalimat syahadah, yang didahului ayat penafian kemudian baru diikuti oleh penerangan yang menguatkan penafian tadi sekaligus pelengkap yang membentuk sebuah ayat yang sempurna.